NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tinjauan Kerusi Panas Pemimpin-Pemimpin Parti PRU15


PETALING JAYA:
  Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung hari ini bermula 9 hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara.

Ia membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri yang dibubarkan. 

SPR menetapkan 19 November ini sebagai Hari Pengundian PRU15 selepas Parlimen dibubarkan 10 Oktober lalu dengan tarikh pengundian awal pada 15 November manakala tempoh berkempen 14 hari.  

Ia turut meliputi pilihan raya serentak bagi mengisi kekosongan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak serta tambahan satu lagi kerusi DUN Bugaya di Sabah susulan kematian penyandangnya.

Calon-calon yang ditampilkan bagi memenangi hati 21 juta pengundi untuk ke Putrajaya dan membentuk pentadbiran kerajaan di negeri-negeri terlibat mewakili pelbagai gabungan antaranya Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Tanah Air Negara (GTA).

ISMAIL SABRI Yaakob(tengah) bersama dua pencabarnya daripada PN dan PH pada majlis penamaan calon di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di Bera, Pahang.

Ismail Sabri berdepan saingan tiga penjuru 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan penyandang Parlimen Bera berdepan pertembungan tiga penjuru menentang calon PN dan PH.

Perdana Menteri yang menyandang Parlimen Bera mewakili BN sejak 2004 dicabar Ketua Bahagian Bersatu Bera, Datuk Asmawi Harun yang mewakili PN dan calon PH iaitu Naib Ketua PKR Cabang Bera, Abas Awang.


MUHYIDDIN (tengah) bersama-sama Razali Ibrahim (kiri) dan Iskandar Shah Abdul Rahman (kanan) selepas diisytiharkan sebagai calon di kerusi Parlimen Pagoh.

Muhyiddin ditentang Razali,  Iskandar Shah di Pagoh

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan saingan tiga penjuru dalam usaha mempertahan kerusi Parlimen Pagoh.

Pagoh yang menjadi antara kerusi panas itu menyaksikan pertembungan antara Muhyiddin selaku Presiden PN dengan figura tidak asing daripada BN, Datuk Seri Razali Ibrahim serta seorang calon PH, Iskandar Shah Abd. Rahman.

 


PEGAWAI Pengurus Pilihan Raya Parlimen Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya (tiga dari kiri) menjulang tangan Dr. Mahathir Mohamad selepas beliau mengumumkan calon-calon Parlimen Langkawi termasuk Armishah Siraj (kiri); Zabidi Yahya (dua kiri); Abd. Kadir Sainudin (dua kanan) dan Mohd. Suhaimi Abdullah di Langkawi, Kedah, hari ini. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN

Tun Dr. Mahathir ditentang empat pencabar di Langkawi

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ditentang empat calon lain termasuk seorang calon Bebas di Parlimen Langkawi.

Dr. Mahathir yang kini berusia 97 tahun mempertahan kerusi itu yang dimenangi beliau pada PRU14 di bawah lambang PKR ketika bersama-sama PH.

Calon lain yang diterima bertanding di kerusi itu ialah Datuk Armishah Siraj daripada BN, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN); Zabidi Yahya (PH) dan calon Bebas yang menggunakan lambang bunga, Datuk Abd. Kadir Sainudin.

Pada PRU14, Dr. Mahathir menang dengan majoriti 8,893 undi menewaskan calon BN, Datuk Nawawi Ahmad dan calon Pas, Zubir Ahmad.

 


AHMAD Zahid Hamidi bersama penyokong selepas proses penamaan calon PRU15 bagi Parlimen Bagan Datuk di SM Sains Bagan Datoh, Perak, hari ini.  -UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

Ahmad Zahid dicabar tiga calon buat pertama kali

Parlimen Bagan Datuk menyaksikan pertembungan empat penjuru dalam pilihan raya kali ini, iaitu paling ramai dalam sejarah pilihan raya di kawasan tersebut sejak 1986.

Penyandang kerusi parlimen itu selama lima penggal, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, 69, dicabar oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin, 47, daripada PH dan Dr. Muhammad Faiz Na’aman, 39, dari PN.

Turut bertanding ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail, 71, yang bertanding sebagai calon Bebas dengan menggunakan simbol Kunci.

Shamsul Iskandar adalah bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya manakala Dr. Muhammad Faiz adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Tawfik pula adalah anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang meninggal dunia pada Ogos 1973.

Pada PRU14, Ahmad Zahid yang kini Pengerusi BN dan Presiden UMNO, memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 5,073 dalam pertembungan tiga penjuru.

Sepanjang lima penggal menjadi Ahli Parlimen, majoriti terbesar pernah diperolehi Ahmad Zahid ialah ketika pertama kali bertanding PRU pada 1995 dengan majoriti 14,830 dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon Parti Semangat 46, yang kini sudah tidak wujud lagi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga pernah memenangi PRU-11 pada 2004 dengan majoriti 12,539 undi tetapi merosot kepada 2,692 undi dalam PRU berikutnya pada 2008.

ABDUL Hadi Awang (dua dari kiri) tiba di pekarangan Pusat Penamaan Calon, Pejabat Daerah dan Tanah Marang, Marang. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Saingan empat penjuru di Marang

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berdepan saingan empat penjuru untuk mempertahan kerusiParlimen Marang dengan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Marang, Jasmira Othman dipertaruh BN di kerusi berkenaan.

Pejuang pula meletakkan Zarawi Sulong manakala Azhar Abdul Shukur mewakili PKR. 

AHMAD Faizal Azumu (dari kiri), Abdul Rahim Tahir, Anwar Ibrahim dan Aminuddin Md Hanafiah pada penamaan calon Parlimen Tambun di Meru, Ipoh, Perak. – UTUSAN/LIYANA RAMLI

Anwar, Faizal Azumu dan dua lagi calon berentap di Tambun

Di Parlimen Tambun pula menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PKR, BN, PN dan Pejuang pada PRU15. Saingan lebih terarah di antara penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka dicabar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan calon Pejuang, Abdul Rahim Tahir.

Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.

Tok Mat berdepan empat calon di Rembau

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan disaingi empat calon lain dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen Rembau. Beliau yang mewakili BN menerima cabaran daripada calon PH Jufitri Joha dan calon PPN, Mohd. Nazree Mohd. Yunus.

Turut memberikan saingan dalam pertembungan lima penjuru itu ialah calon Pejuang, Ramly Awalludin dan wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Tinagaran.

CALON yang bertanding di Parlimen Titiwangsa, (dari kiri) Khairuddin Abu Hassan, Johari Abdul Ghani, Khalid Samad dan Dr. Rosni Adam. – UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH

Empat calon termasuk 3 nama besar tanding Titiwangsa

Empat nama besar disahkan bertanding bagi menawan kerusi Parlimen Titiwangsa iaitu calon BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Dr. Rosni Adam (PN), Datuk Seri Khairuiddin Hassan (Pejuang) dan  Khalid Abdul Samad mewakili PH.

Pada PRU14, Kerusi Parlimen Titiwangsa disandang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dengan majoriti 4,139 undi selepas memperoleh sebanyak 23,840 undian pada PRU14.

Rina menewasKan Johari yang memperoleh sebanyak 19,701 undian manakala calon Pas, Mohamad Noor Mohamad memperoleh 6,845 undi.

Azmin Ali berdepan saingan lima penjuru di Gombak

Penyandang tiga penggal kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal berdepan anak didiknya, Datuk Amirudin Shari selain dicabar calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin di kawasan itu.

Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN turut dicabar calon GTA, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir dan seorang calon Bebas, Zulkifli Ahmad. Proses penamaan calon bermula sedikit tegang apabila berlaku provokasi antara dua kumpulan penyokong yang berkumpul seawal pukul 8 pagi lagi.

Kerusi Parlimen Gombak disandang Mohamed Azmin yang menang dengan majoriti 48,721 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan Pas, IR. Khairil Nizam pada PRU14.

Tiga calon Bebas antara 8 rebut Parlimen Bangi

Kerusi Parlimen Bangi menyaksikan tiga calon Bebas bertanding sekali gus menjadikan pertandingan lapan penjuru. Tiga calon Bebas terbabit ialah M. Suthan, Muhammad Fauzi Hasim dan Jamal Hisham Hashim.

Lima wakil parti pula ialah Syahredzan Johan (PH), Chee Chee Meng (Parti Rakyat Malaysia), Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir (PN), Annuar Salleh (Pejuang) dan Hoh Hee Lee (BN). 

 

HABIBAH Mohd. Yusof (dua kanan) bersama empat calon lain ketika pengumuman rasmi calon di Dewan Dato’ Hormat,Tanjong Karang, Selangor. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED

Lima penjuru di kubu kuat BN, Tanjong Karang

Kerusi Parlimen Tanjong Karang yang menjadi kubu kuat BN di Selangor menyaksikan pertembungan lima penjuru. Ketua Wanita UMNO Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd. Yusof dicabar Datuk Dr. Zulkapferi Hanafi dari PN dan Siti Rahayu Baharin yang mewakili PH.

Kawasan itu turut ditandingi Azlan Sani Zawawi atau dikenali sebagai Lando dari Gerakan Tanah Air (GTA) dan pesara kerajaan yang bertanding sebagai calon Bebas, Mohd. Rosni Mastol.

Kerusi Parlimen tersebut menjadi tumpuan apabila Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar yang juga penyandang tidak terpilih sebagai calon dan mempertahan kubu terakhir parti itu.

Namun, Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Selangor menegaskan tidak berganjak untuk terus menyokong dan memperjuangkan BN kerana bukan pengkhianat parti.

Noh mempertahan kemenangan kerusi P095 itu sejak 1995 melalui PRU9, PRU10, PRU11, PRU12, PRU13 dan PRU14.

Pada PRU14, beliau yang juga calon BN-UMNO memperoleh majoriti 1,970 undi selepas menewaskan Zulkafperi Hanapi daripada PKR dan calon Pas iaitu Nor Az Azlan Ahmad. 

Khairy dicabar enam calon di Sungai Buloh

SPR mengumumkan seramai tujuh calon terdiri daripada BN, PH, PN,GTA, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan dua lagi calon Bebas bertanding merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Khairy Jamaluddin yang merupakan penyandang Parlimen Rembau serta Menteri Kesihatan diumumkan sebagai calon BN manakala Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR Datuk R. Ramanan diumumkan sebagai calon PH.

Mohd. Ghazali Md Hamin diumumkan mewakili PN,  Mohd Akmal Mohd Yusof mewakili GTA, Ahmad Jufliz Faiza mewakili PRM dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas.

KHAIRY Jamaluddin semasa proses penamaan calon kerusi Sungai Buloh pada PRU15 di Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, hari ini. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Untuk rekod, Parlimen Sungai Buloh adalah kerusi campuran yang disandang Sivarasa dari PKR sejak 2008 dan PRU lalu beliau memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti besar 26,634 undi.

Secara tradisi kerusi Sungai Buloh ditandingi oleh MIC namun parti itu kalah kepada PKR tiga penggal berturut-turut.

Pada PRU14 dalam persaingan di P.107 Sungai Buloh, S. Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari Pas yang memperoleh 16,977 undi, A.Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari PSM (642).

Dua calon Bebas ‘cuba nasib’ di Putrajaya

Buat pertama kali dalam sejarah sejak pilihan raya umum 2004, kerusi Parlimen P125 Putrajaya ditandingi calon Bebas. Lebih menarik, bukan seorang calon, tetapi dua calon Bebas berentap merebut kerusi Putrajaya bagi PRU15 sekali gus menyaksikan pertembungan enam penjuru.

Sejak pilihan raya umum kali pertama di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2004 lalu, Putrajaya hanya ditandingi persaingan dua penjuru dan tiga penjuru. Dua calon Bebas itu bersaing dengan empat calon lain masing-masing daripada BN, PN, Pejuang dan PH.

Dua calon Bebas berkenaan ialah Samsudin Mohamad Fauzi, 46, dan Lim Fice Bee, 44, manakala empat calon lain membabitkan penyandang kerusi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN); Datuk Dr. Radzi Jidin (PN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PKR) dan Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang).

Pada PRU14 lalu, Tengku Adnan mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya buat penggal keempat apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat. 


CALON-CALON yang bertanding pada PRU15 di Parlimen Ampang dari kiri Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Bryan Lai Wai Chong,  M. Raveendran, Ivone Low Yi Wen, Rodziah Ismail, Zuraida Kamaruddin,  Nurul Ashikin Mabahwi, Sasha Lyna Abdul Latif dan Tan Hua Meng bergambar selepas sesi penamaan calon di Ampang. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Lapan calon lawan Zuraida di Ampang

Proses penamaan calon bagi  Parlimen Ampang pula menyaksikan sembilan penjuru dengan figura utama yang juga merupakan penyandang, Datuk Zuraida Kamaruddin dari PBM.

Rodziah Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga kali ini cuba mempertahan kubu kuat PKR di Parlimen yang dipegang parti itu sejak 2008 melalui PH.

Beliau hadir bersama pencadang Ketua Cabang PKR Bahagian Ampang yang juga merupakan penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau dikenali sebagai Altimet dan penyokongnya, seorang Pengarah dan selebriti, Datuk Hans Isaac. 

BN menyaksikan Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen, seorang muka baharu berusia 29 tahun. Sementara PN pertaruhkan Shasha Lyna Abdul Latiff, 38 yang merupakan seorang peguam.

Turut mengintai peluang, Ketua Pejuanita Muda, Dr. Nurul Ashikin Mabahwi, 33. Nurul Ashikin merupakan pemegang Ijazah doktor falsafah (PhD) Sistem Alam Sekitar dari Institusi Teknologi Shibura, Jepun.

ADUN Teratai, Bryan Lai Wai Chong yang keluar daripada DAP selepas dikaitkan dengan dakwaan hubungan sulit tahun lepas kini merupakan calon kerusi Parlimen Ampang bagi Parti Warisan (Warisan).

Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, 33 yang merupakan seorang ahli perniagaan mewakili Bebas. 

Dua  lagi calon Bebas, Tan Hua Meng, 64 yang pada PRU14 merupakan calon PRM  dan M. Raveendran, 38 turut memberi cabaran bagi merebut kerusi Parlimen ini.

Pada PRU14, Zuraida yang ketika itu mewakili PKR menang dengan undi sebanyak 54,307 mengalahkan calon BN, Leong Kim Soon (12,351 undi) dan calon Pas, Nurul Islam Mohamed Yusoff (9,598) sementara Tan Hua Meng dari Parti Rakyat Malaysia hanya memperoleh 294 undi sekali gus hilang deposit.


(Dari kiri) Azli Yusof, Mohd. Rafique, Hizatul Isham Jalil dan Afif Bahardin menjulang tangan selepas penamaan calon Parlimen Shah Alam di Dewan Teratai Seksyen 19, Selangor, hari ini. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

Shah Alam direbut empat calon

Empat nama diumumkan bertanding merebut kerusi Parlimen Shah Alam melibatkan wakil PH, Azli Yusof;  Mohd. Rafique Rashid Ali (Pejuang); Hizatul Isham Jalil (BN) dan Dr. Afif Bahardin (PN).

Pada PRU15, Khalid Abdul Samad yang bertanding di bawah bendera PKR menang dengan  majoriti 33,849 undi. 

CALON yang bertanding kerusi Parlimen Penampang (dari kiri) Datuk Ewon Benedict, Richard Jimmy, Kenny Chua dan Datuk Darell Leiking di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, hari ini. – UTUSAN/MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN

Teck Ho tanding Penampang, saingan empat penjuru 

Bekas ADUN Inanam dari PKR, Kenny Chua Teck Ho yang sebelum ini menjadi dalang menjatuhkan Kerajaan Sabah ditadbir Warisan membuat kemunculan bertanding di Parlimen Penampang.

Kali ini, Teck Ho bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN menyaksikan saingan empat penjuru dengan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking; Datuk Ewon Benedict (PH-UPKO) dan calon Bebas, Richard Jimmy. 

Parlimen Penampang mempunyai dua kerusi DUN iaitu Moyog dan Kapayan dengan 77,214 pengundi berdaftar yang majoritinya etnik Kadazandusun. – 

Saingan enam penjuru di Wangsa Maju  

Kerusi Parlimen Wangsa Maju pula menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon BN, PH, PN, Warisan, GTA dan Bebas. 

Pada pilihan raya umum kali ini, PKR menampilkan muka baharu, Zahir Hassan sebagai calonnya menggantikan penyandang, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew bagi mempertahan kerusi Parlimen Wangsa Maju.  

BN mempertaruh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah yang pernah bertanding di kawasan itu namun tewas kepada  Datuk Dr. Tan Kee Kwong dari PKR pada PRU13. 

PN dan GTA masing-masing menampilkan calon wanita iaitu Nuridah Mohd. Salleh yang merupakan Ketua Dewan Muslimat Pas Wilayah Persekutuan dan Norzaila Arifin dari Putra.      

Warisan turut memberi saingan dengan meletakkan calonnya, Wee Choo Keong yang juga bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju yang bertanding atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2008.

Calon Bebas yang turut bertanding di kerusi tersebut ialah Ravee Suntheralingam.

Pada PRU14 lalu, Yee Kew memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju dengan meraih 42,178 undi, menewaskan calon BN, Datuk Seri Yew Teong Look yang memperoleh 17,940 undi dan Razali Tumirin dari Pas (13,490 undi). 

Gobind Singh dicabar calon BN, PN di Damansara

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi DAP mewakili PH yang dipertaruh untuk mempertahan kubu kuat parti tersebut berdepan saingan tiga penjuru di kerusi Parlimen  Damansara.

Dua lagi calon adalah Tan Gim Tuan dari MCA di bawah BN dan Lim Si Ching dari Gerakan di bawah PN. 


BARISAN calon Parlimen Batu (dari kiri) Mohd. Zulkifli Abdul Fattah, P. Naganathan, Wan Azliana Wan Adnan, Siti Zabedah Kasim, Kohilan Pillay dan (dari kanan) Too Cheng Huat, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, Tian Chua, Azhar Yahya serta Prabakaran Parameswaran bergambar selepass sesi penamaan calon  SMK Sentul Utama. – UTUSAN/AMIR KHALID

10 penjuru di Parlimen Batu

Kerusi Parlimen Batu menyaksikan pertembungan paling ramai calon melibatkan 10 penjuru daripada pelbagai parti dan beberapa calon Bebas.

Mereka terdiri daripada calon BN, Datuk Kohilan Pillay; P. Prabakaran (PH); Wan Azliana Wan Adnan (GTA); P. Naganathan (Warisan) dan Azhar Yahya (PN).

Peguam Siti Zabedah Kasim dan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra serta beberapa individu lain bertanding sebagai calon Bebas.

LIMA calon merebut kerusi Parlimen Pandan (dari kiri) Nadia Hanafiah, Ong Tee Keat, Leong Kok Wee, Muhammad Farique Zubir Albakri dan Rafizi Ramli bergambar selepas proses penamaan calon di  Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Pandan Indah. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

Rafizi ditentang empat calon pertahan Pandan

Parlimen Pandan yang dipertahan Rafizi Ramli melibatkan saingan lima penjuru antara calon BN, PN, PH, Warisan dan GTA. Selain Rafizi yang merupakan Timbalan Presiden PKR, seorang lagi bekas Ahli Parlimen di situ ialan Tan Sri Ong Tee Keat (Warisan).

BN pula diwakili Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Wee manakala PN mempertaruh muka baharu, Ketua Dewan Pemuda Pas bahagian itu, Muhammad Farique Zubir Albakri yang berusia 35 tahun. Calon GTA, Nadia Hanafiah menjadi calon wanita tunggal yang bertanding di Parlimen itu.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Pandan dimenangi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 64,733 undi sekali gus mengetnepikan empat calon lain.

Setakat Ogos lalu, seramai 148,120 pengundi direkodkan di Parlimen Pandan. Dalam PRU15 ini, sebanyak 37 daerah mengundi dibuka dengan melibatkan 248 saluran.

Lembah Pantai diintai empat calon

Penyandang kerusi Lembah Pantai mewakili PH, Fahmi Fadzil antara empat calon yang dinamakan merebut kerusi itu pada pilihan raya umum kali ini.

Beliau disaingai calon BN, Datuk Ramlan Askolani; Fauzi Abu Bakar (PN) dan Noor Asmah Mohd Razalli (Pejuang
Pada PRU14, Fahmi memenangi kerusi Parlimen itu dengan 33,313 undi dan majoriti 5,598 mengalahkan lawannya Raja Nong Chik dari BN dan Fauzi Abu Bakar (Pas).

Saingan lima penjuru di Setiawangsa

Enam calon disahkan bertanding bagi menawan kerusi Parlimen Setiawangsa iaitu calon PH, Nik Nazmi Nik Ahmad, Nurul Fadzilah Kamaludin (PN), Bibi Sunita Sakandar Khan (Pejuang), Datuk Seri Izudin Ishak (BN) serta Mior Rosli dan Lim Yen Tiong (Bebas). 

Kerusi Parlimen itu dimenangi penyandang daripada PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dengan majoriti 14,372 undi.

Beliau menewaskan calon BN, Tan Sri Dr. Zulhasnan Rafique yang memperoleh jumlah undi 20,099 dan calon Pas, Ubaid Abd. Akla yang meraih 6,282 jumlah undi. 

Pencalonan calon PH ditolak, satu lawan satu di DUN Kemayan

Kertas pencalonan dikemukakan calon PH, Manolan Mohamad bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan ditolak SPR kerana kesilapan teknikal berkaitan alamat dalam kad pengenalan yang berbeza daripada kawasan pencalonan.

Ekoran itu, kerusi tersebut menyaksikan pertembungan antara calon BN yang diwakili Ketua Pemuda UMNO Bera, Khaizulnizam Mohamad Zuldin dan Shapuan Hussin yang mewakili PN.

UTUSAN



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo