PROSES pertama Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah selesai. Kita sudah tahu siapa akan bertanding di semua 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis, Perak dan Pahang selain DUN N66 Bugaya, Sabah.
Kali ini ia PRU15 terbesar dengan 945 calon untuk menawan Putrajaya, terbesar sejak negara merdeka, berbanding lebih 600 calon dalam PRU14. Bukan sahaja jumlah calon meningkat, malah jumlah pengundi berdaftar naik kira-kira lima juta.
Pada PRU14 dulu lebih 12 juta pengundi keluar memilih kerajaan atau kira-kira 84 peratus daripada keseluruhan pengundi, satu jumlah sangat tinggi. Jumlah tinggi itu antara punca kejayaan Pakatan Harapan (PH) mengakhiri pemerintahan enam dekad Barisan Nasional (BN).
Kurang 24 jam selepas penamaan calon, ketua-ketua parti dan timbalan masing-masing sudah mula menyatakan parti mereka akan menang, menawan majoriti kerusi dan negeri tertentu. Itu sudah dijangka kerana tiada jeneral memasuki perang untuk mengaku akan tewas. Naratif kemenangan perlu untuk yakinkan pengundi dan anak buah masing-masing. Ia juga untuk yakinkan diri sendiri walaupun peluang sangat tipis.
Beberapa kajian mula muncul memberi kemenangan kepada parti tertentu. Sebelum mana-mana pihak terlalu ghairah mengumumkan kemenangan milik mereka, ada beberapa faktor membezakan PRU15 dan pilihan raya empat tahun dahulu.
Pertama, pertandingan bukan antara dua kuasa politik besar – BN menentang Harapan dalam PRU14. Hari ini ada empat pakatan politik utama – BN, PH, PN dan GTA selain parti-parti kecil lain.
Matematik mudah, satu kek dibahagi empat akan menyebabkan pemakannya mendapat saiz lebih kecil. Perkara sama dilihat ketika pilihan raya negeri Johor dan Melaka.
Kedua, adakah kita akan menyaksikan 85 peratus keluar mengundi seperti PRU14? Selepas apa yang berlaku dengan tumbangnya kerajaan PH selepas Langkah Sheraton. Pengundi masih ingat perubahan diidamkan tinggal hanya harapan. Defisit kepercayaan kepada sistem demokrasi yang dihancurkan oleh ahli politik sendiri masih segar dalam ingatan. Ramai pengundi terasa tertipu.
Justeru parti yang menang dengan jumlah pengundi 85 peratus empat tahun lalu, tidak boleh terlalu yakin. Tsunami tidak berlaku dua kali.
Ketiga, walaupun ada lima juta pengundi baharu, tidak pasti mereka ini berminat untuk mengundi. Mereka berusia 18 hingga 20 tahun mungkin ada sebab memilih. Tetapi kira-kira tiga juta lagi yang namanya dimasukkan secara automatik, tidak berminat langsung dan kekal tidak keluar mengundi.
Jadi, parti dengan asas penyokong dan ahli yang besar ada kelebihan. Terdapat mereka yang di atas pagar belum putuskan parti mana untuk diundi. Di bandar-bandar dengan kawasan di mana pengundi Cina membentuk lebih 65 peratus pengundi, kekuatan DAP dan Harapan sukar digugat.
Tetapi di kawasan yang mana BN tewas dengan majoriti kecil walaupun dengan kehadiran penyokong yang ramai empat tahun lalu, BN dapat menawan semula kerusi berkenaan terutama apabila undi pecah kepada empat.
Ketika ini tiada parti boleh mendakwa akan menang majoriti 222 kerusi
Parlimen. Perjalanan ke Putrajaya masih jauh. Ketika ini pada pandangan
rakyat siapa akan menjadi kerajaan paling berkesan untuk tempoh lima
tahun akan datang. Itu sahaja.
Mohamad Azlan Jaafar
Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment