NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tak perlu aplikasi baiah ke atas semua calon PN - Abdul Hadi


ARAU:
Gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) tidak perlu mengaplikasikan secara menyeluruh amalan baiah (perjanjian sumpah setia) calon PAS kepada semua calon PN yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata amalan baiah sebenarnya hanya dilakukan calon PAS yang menerima watikah pelantikan sebagai calon PRU.

"Namun sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) nak melakukannya juga, maka ia terpulang kepada mereka kerana kita dalam PN lebih mengguna pakai aku janji.

"Terpulang kepada parti masing-masing kerana kita tidak terikat, sebaliknya kita lebih menekankan aspek kerjasama dalam gabungan ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena PRU15 dan merasmikan Bilik Gerakan Utama PN Arau, Utan Kandis, Guar Sanji, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Presiden PAS berkata, baiah yang diamalkan PAS sekarang adalah baiah yang berdasarkan kesetiaan kepada parti.

"Maknanya, setiap perjuangan tidak boleh khianat pada parti, tidak boleh terbabit dengan salah laku dan tali yang mengikat kita adalah perjuangan Islam.

"Jika didapati khianat pada parti, ia boleh dilaknat Allah. Maka baiah yang wujud dalam PAS pada waktu ini adalah bersifat kerjasama dalam parti,' katanya.

Katanya, baiah yang diamalkan parti itu ketika ini tidak sama seperti baiah yang dipraktikkan oleh PAS Kelantan di mana ia sehingga membawa kepada talak isteri.

"Baiah berkenaan adalah baiah khusus yang pernah dilakukan ketika (Allahyarham) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menghadapi parti Semangat 46 dahulu," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi turut mengulas kenyataan bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang dilaporkan menyarankan pengundi PAS supaya mengundi BN.

"Kenyataan Ustaz (Takiri) ini saya tidak perlu jawab kerana beliau bulan lagi orang PAS," katanya ringkas.

Semalam, Khairuddin berkata, ahli dan penyokong PAS perlu mengundi BN pada PRU15 bagi mengelak kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang akan membawa mudarat lebih besar kepada negara.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus berkata, saranan itu adalah berasas kerana pada masa ini hanya BN yang mampu menyekat kemaraan PH dalam PRU15 pada 19 November ini.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo