Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa sekadar memberi duit sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah asas pendidikan di negara ini.
Syed Saddiq berkata demikian sebagai mengulas mengenai manifesto BN yang diumumkan oleh pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi malam semalam, berhubung tawaran pendidikan percuma untuk pelajar kumpulan B40 bagi pendidikan tinggi.
Penyandang parlimen Muar itu juga mengungkit janji kerajaan terdahulu mengenai bantuan tablet percuma untuk pelajar B40, yang menurutnya lemah daripada segi pelaksanaan.
“Saya nak tekankan sikit soal pelaksanaan kerana contoh terbaik adalah mereka janjikan dua tahun lepas, (yang) sekarang pun banyak masalah.
“Kedua, saya lihat one by one policy plan. Lagi sekali, mereka tidak menangani masalah asas pendidikan di Malaysia.
“Penyelesaian dia (BN) cuma letak banyak duit. Itu bukan penyelesaian,” katanya ketika program hi-tea bersama anak muda Gombak dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di Gombak, Selangor hari ini
Semalam, BN mengambil langkah drastik dengan menawarkan pendidikan percuma dalam manifestonya, iaitu setiap pelajar dalam kumpulan B40 layak mendapat pendidikan tinggi percuma sekiranya BN memenangi pilihan raya umum (PRU) dan berjaya membentuk kerajaan.
Zahid turut berjanji mengggantikan penggunaan buku teks dengan penggunaan komputer riba, sebagai sebahagian daripada pendigitalan sistem persekolahan.
Pemimpin BN hipokrit
Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan itu turut membangkitkan isu kekurangan pekerjaan di kalangan pelajar yang baru menamatkan pengajian.
Sedangkan, katanya, golongan itu perlu menanggung hutang pengajian di universiti.
Katanya, tiada perubahan struktur yang ditawarkan dari segi jangka masa panjang untuk anak muda.
Terdahulu, dia diminta mengulas mengenai bagaimana Pakatan Harapan (PH) dan Muda dapat memastikan tawaran yang lebih baik diberikan kepada anak muda terutamanya pengundi pertama kali, berbanding BN.
Menyifatkan pemimpin BN sebagai sekumpulan individu yang hipokrit, Syed Saddiq berkata dia sering dihentam apabila membangkitkan isu sistem pendidikan di dalam parlimen dan digelar sebagai seorang yang menolak patriotism.
“Mereka ini hipokrit. Orang sama yang tak ada keberanian untuk hantar anak mereka di sistem pendidikan awam kerana mereka hantar tadika di Perancis, boarding school kat UK bukan Perak - harga puluhan ribu Pound.
“Tapi anak-anak Malaysia tak boleh, kena kekalkan (sistem pendidikan) jangan tukar sistem. Ini dua darjat… (apabila) yang susah, miskin dapat pendidikan tak berkualiti, yang kaya raya dapat, anak-anak mereka boleh.
“Kamu hipokrit sebenar. Yakinlah, bila kami part of the government (sebahagian daripada kerajaan), kita akan rombak. (polisi) popular tak popular letak tepi,” katanya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment