Dalam usaha menewaskan Presiden MCA Wee Ka Siong di kerusi Parlimen Ayer Hitam di Johor, DAP memutuskan untuk mempertaruhkan calon Melayu, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Dipercayai langkah itu untuk menarik lebih sokongan pengundi Melayu di kawasan itu. Pada 2018, pengundi Melayu merangkumi 58 peratus jumlah pengundi di situ.
Di atas kertas, jika Sheikh Umar dapat meraih 10 hingga 15 peratus undi Melayu dan mengekalkan sokongan majoriti pengundi Cina, dia dapat menewaskan Wee.
Namun, pemerhatian Malaysiakini di lapangan menunjukkan ia tidak berjalan seperti yang dirancang.
Sementara Sheikh Umar sudah bekerja keras sejak sebelum hari penamaan calon lagi, dengan bertemu pengundi di kedai-kedai dan perkampungan Melayu, ramai yang tidak kenal dengannya.
Ketika sesi itu, ramai yang ditemuinya bertanya dia dari mana sementara segelintir, termasuk penyokong PH, tahu bahawa dia pernah menjadi Adun Paloh.
Antara segelintir yang mengenali calon DAP itu adalah pemain tarian kuda kepang Hazim Mohamad, yang masih ingat pernah bertemu Sheikh Umar ketika Festival Ayer Hitam Putih pada 2018.
Acara itu dianjurkan Sheikh Umar ketika dia menjadi exco kerajaan negeri.
Hazim menyambut Sheikh Umar dan pasukan kempen PH di rumahnya di Kampung Parit Bingan, sebelum membawa mereka ke sebuah warung berdekatan.
Kampung Parit Bingan terletak di DUN Semarang, tidak jauh dari pekan Ayer Hitam.
Di banyak kampung parit di Ayer Hitam dan juga di Johor, kebanyakan penduduk adalah keturunan Jawa dan masih bercakap bahasa Jawa.
Sementara Syeikh Umar boleh bercakap dalam bahasa itu, dia tidaklah begitu fasih.
Seorang pemimpin DAP Selangor, Ng Suee Lim sebaliknya menjadi perantara antara Sheikh Umar dan penduduk kampung. Adun Sekinchan itu memang dikenali fasih dalam bahasa itu.
Dalam kunjungan mereka di warong di Kampung Parit Bingan, Ng menggesa penduduk untuk mengundi Sheikh Umar dan mengkritik BN yang menurutnya sebuah gabungan yang korup.
Di salah sebuah warung, Sheikh Umar menyampaikan ucapan ringkas kepada 20 orang penduduk. Dia memperkenalkan diri sebagai "calon Melayu muda" dan meminta agar mereka memberi sokongan kepadanya.
Mesej PH berkenaan korupsi juga kurang mendapat sambutan memandangkan mereka percaya semua ahli politik tidak kebal daripada perkara itu, dan perkara lebih penting adalah keupayaan mereka untuk berkhidmat kepada penduduk setempat.
Pemilik warung tersebut membangkitkan kawasan Parlimen Sri Gading yang terletak bersebelahan Ayer Hitam. Menurutnya, penyandangnya Shahruddin Salleh dari Pejuang jarang turun padang, walaupun ketika banjir melanda.
Mereka berpandangan kurangnya bantuan terhadap penduduk kerana ahli parlimen pembangkang tiada sumber yang cukup untuk memberi bantuan.
Pada masa sama, mereka memuji Wee kerana sentiasa pantas memberi maklum balas terhadap permintaan pendidik, memberi bantuan termasuk bakul makanan dan sumbangan ketika wabak Covid-19, dan sentiasa memberi dana kepada masjid.
Mereka juga berkata Wee membawa pembangunan di Ayer Hitam, termasuk jalan raya, serta menjaga penduduk tanpa mengira kaum.
Di Yong Peng, seorang peniaga makanan Yahya Surataman (gambar) berkata dia akan tetap mengundi BN walaupun sedikit kecewa apabila permohonannya untuk mendapatkan gerai pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak beberapa tahun lalu tidak diluluskan.
"Saya tak tahu nak terangkan, tetapi bapa saya beritahu untuk buat begitu (undi BN) macam dulu, dan kami ikut. Tentang rasa kecewa (permohonan ditolak), kami akan failkan rayuan," katanya kepada Malaysiakini.
Tiada harapan untuk PH?
Kurangnya populariti PH di kalangan orang Melayu di Ayer Hitam dapat diperhatikan dalam keputusan pilihan raya di DUN Semarang - kubu kuat BN di Ayer Hitam.
Pada 2018, PH dengan sokongan Bersatu hanya meraih 23 peratus undi di Semarang, walaupun ada sentimen anti-BN yang kuat di Johor ketika itu.
Ia terus merosot dalam PRN awal tahun ini. Calon PKR Haryati Abu Nasir hilang deposit setelah meraih hanya 7.4 peratus undi.
Keadaan lebih buruk bagi DAP - menurut analisis dalaman PH, parti itu hanya mendapat lima peratus undi Melayu ketika PRN tersebut.
BN pula berjaya menambah 400 undi di Semarang.
Namun, perlu dinyatakan yang jumlah keluar undi ketika itu tidak mengambil kira peningkatan pengundi baru selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik.
MCA guna sentimen Cina
Bagaimanapun, sokongan kukuh terhadap BN dijangka memberi jaminan bahawa kebanyakan undi Melayu di Ayer Hitam akan pergi kepada Wee.
Wee juga mendakwa mendapat sokongan pengundi India yang merangkumi kira-kira empat peratus pengundi berdasarkan daftar pemilih 2018.
Sementara itu sudah cukup untuk memberi kemenangan kepadanya, presiden MCA itu bertekad untuk turut meraih undi Cina bagi memastikan dia mendapat kemenangan selesa.
Untuk mencapai matlamat itu, Wee dan penyokongnya cuba menggunakan sentimen berteraskan kaum.
Pada 4 Nov lalu, malam sebelum penamaan calon, Wee hadir majlis makan malam anjuran Persatuan Pekebun-pekebun Sayur Yong Peng yang turut disertai 300 penduduk tempatan.
Dalam ucapannya, pengerusi persatuan Cheng Tai Hoe berkata Wee adalah pemimpin Malaysia yang paling berkemungkinan akan bertemu Presiden China Xi Jinping.
Dengan kelebihan bahasa dan budaya yang dimiliknya, Cheng berkata Wee dapat membantu petani setempat untuk mengeksport durian, minyak sawit dan tanaman lain ke China.
"Pada masa lalu, ekonomi utama Yong Peng adalah minyak sawit. Di masa depan, ia adalah durian.
"Tahun depan, durian Filipina akan masuk pasaran China dan akan menjadi pesaing kepada Malaysia.
"Kita mesti fikir dua kali sama ada kita nak Wee atau pemimpin Melayu untuk bantu kita eksport durian dan minyak sawit ke China," kata Cheng.
Dalam ucapannya, Wee membangkitkan sumbangannya, termasuk mendapatkan dana kerajaan untuk menubuhkan SJKC Yong Peng 2 selepas meraih 85 peratus undi Cina ketika PRU 2004 dan mendapatkan dana berjumlah RM140 juta untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Taruc) sejak 2020.
Dia turut mengkritik DAP yang memiliki 42 ahli parlimen tetapi gagal mendapatkan lebih banyak dana untuk Taruc dan malah mengurangkannya ketika Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan.
Penyokong Wee yang hadir pula melaungkan "undi Wee untuk kampung halaman" dan mengangkat sepanduk yang memujinya kerana mempertahankan hak dan kepentingan masyarakat Cina.
DAP harap pengundi luar pulang
Selain Semarang, sebuah lagi DUN di bawah Parlimen Ayer Hitam adalah Yong Peng. Jika majoriti penduduk Semarang adalah orang Melayu, Yong Peng pula kebanyakannya dihuni orang Cina.
DAP menang di DUN itu pada 2013 sebelum kembali dirampas MCA pada PRN lalu.
Dalam PRN itu, jumlah undi yang diraih DAP di Yong Peng merosot dari 12,307 undi pada PRU 2018 kepada 7,129 undi. Undi kepada BN pula meningkat daripada 7,218 undi kepada 9,870 undi.
Antara punca kemerosotan undi DAP itu adalah penurunan peratus keluar mengundi yang begitu ketara, iaitu sebanyak 2,000 pengundi.
DAP berharap keadaan pada PRU15 berbeza.
Dengan wabak Covid-19 yang mereda dan sempadan Malaysia-Singapura kembali dibuka, peratus keluar mengundi pada PRU15 dipercayai akan menjadi lenbih tinggi.
Dari satu sisi pula, pengundi luar biasanya dilihat lebih cenderung untuk menyokong pembangkang.
Menurut SPR, terdapat 61,000 pengundi di kawasan Parlimen Ayer Hitam pada masa ini - meningkat 15,000 undi berbanding pada 2018.
3,847 daripada 15,000 pengundi baru itu berusia antara 18 hingga 20 tahun.
Bagaimanapun masih sukar untuk meramal trend pengundian mereka. Selain itu, tiada jaminan pengundi yang didaftarkan secara automatik akan keluar mengundi atau tidak.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment