NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Stadium Nasional bertukar lautan merah-biru, merah-kuning



KUALA LUMPUR:
Lautan merah-biru dan merah-kuning 'membanjiri' Stadium Nasional di Bukit Jalil menjelang pertembungan final Piala Malaysia 2022 yang dinanti-nantikan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di sini, malam ini.

Setakat jam 6 petang, suasana di pekarangan stadium kebanggaan rakyat Malaysia itu meriah dengan pelbagai acara serta aktiviti yang diserikan penyokong kedua-dua pasukan selepas hujan lebat kira-kira pada jam 3 petang.

Pelbagai jualan seperti jersi pasukan, cenderahati, makanan dan minuman di sekitar gelanggang keramat pasukan bola sepak negara itu turut menyemarakkan keadaan.

Penyokong JDT kebanyakannya hadir mengenakan jersi tuan rumah sambil menggayakan mafla berjalur merah-biru simbolik logo skuad Harimau Selatan manakala penyokong Selangor tampil dengan pakaian berwarna merah-kuning iaitu warna rasmi Gergasi Merah.

Pintu pagar Stadium Nasional dibuka kepada penyokong bermula jam 5 petang ini sementara sepak mula perlawanan akhir dijadual pada 9 malam.

Penyokong JDT, Marlinda Samuri, 32, berjaya mencuri tumpuan ramai apabila hadir dengan kostum 'harimau belang' yang sering digayakannya setiap kali memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan di stadium.

"Ini dikira 'trademark' saya lah kerana setiap perlawanan memang pakai kostum ini walaupun rasa panas dan berpeluh tapi bagi saya ia bukan masalah, saya dah biasa sebab kerja pun pakai uniform," kata sukarelawan berasal dari Pontian itu yang mula menyokong JDT sejak 2013 kepada Bernama.

Turut tampil berbeza dengan menggayakan topeng bewarna merah-biru serta berambut 'trojan' ialah Ahmad Suhaimi Shamsi yang memandu dari Kluang bersama rakan-rakan sekerja untuk melihat JDT muncul juara sekali gus mencipta kejayaan 'treble' musim ini.

"Saya harap kali ketiga saya datang tengok JDT di final ini berbaloi seperti final Piala FA dulu (September lepas)...saya rasa JDT boleh menang 4-1 dengan Arif Aiman (Arif Aiman Mohd Hanapi) dapat gol dan tolong pasukan jadi juara treble," kata pemuda berusia 31 tahun itu.

Dalam pada itu, penyokong Selangor Azwan Waifa berharap untuk melihat skuad kendalian Tan Cheng Hoe menamatkan kemarau kejuaraan enam tahun sekali gus meraih gelaran juara Piala Malaysia kali ke-34.

"Selangor sejak Cheng Hoe ambil alih nampak peningkatan dan perubahan positif...kalah atau menang itu nombor dua, tiada istilah rugi dalam bola sepak kerana sukan ini adalah jiwa saya," kata pelajar berusia 21 tahun dari Sungai Buloh itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati aspek keselamatan berada pada tahap optimum dengan anggota penguat kuasa dilihat bersiap siaga di sekitar stadium manakala anggota trafik mengawal lalu lintas di sepanjang jalan dan persimpangan utama menuju ke Stadium Nasional.

Seramai 80,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Nasional malam ini untuk menyaksikan pertemuan pertama kedua-dua pasukan di pentas final selepas melalui penswastaan kelab, namun Johor FA pernah menewaskan Selangor FA untuk memenangi Piala Malaysia pada 1991.

Selangor merupakan pasukan paling berjaya dalam saingan Piala Malaysia dengan rekod kejuaraan 33 kali sementara JDT muncul juara sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013.

Rekod lima pertemuan terakhir dalam semua pertandingan berpihak JDT yang melakar tiga kemenangan dan dua seri berdepan Selangor.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu berakhir dengan keputusan 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, September lepas.






........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo