Aksi menarik Malaysia menentang Kanada dalam perlawanan Kumpulan B Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan pada Selasa. - Foto FIH/World Sports |
THE Speedy Tigers mempamerkan karakter melawan tinggi apabila bangkit dari ketinggalan dua kali untuk menewaskan Kanada 3-2 dalam perlawanan kedua Kumpulan B Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan pada Selasa.
Bagaimanapun, skuad Arul Selvaraj yang tampil dengan misi wajib menang selepas kecundang 0-1 kepada juara Asia, Korea Selatan, dalam aksi pembukaan, terlebih dulu ketinggalan hasil jaringan gol padang Sean Davis pada minit ke-19.
Kedudukan itu tidak kekal lama apabila Muhammad Firhan Ashaari memadamkan kelebihan tersebut menerusi pukulan sudut penalti minit ke-33.
Kanada yang tidak mengalah kembali semula mendahului hasil jaringan pukulan sudut penalti minit ke-40, Gordon Johnston, namun kelebihan itu sekali lagi dipadamkan menerusi gol padang hasil jaringan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-50.
Muhammad Azrai Aizad sekali lagi tampil cemerlang apabila meledak jaringan ketiga pasukan negara pada minit ke-58’ untuk keputusan 3-2.
Keputusan itu menyaksikan Speedy Tigers kini mengumpul tiga mata selepas mengharungi dua perlawanan.
Anak buah Arul Selvaraj akan berdepan Jepun dalam perlawanan ketiga pada 1 Disember ini.
Sementara itu, pemain tengah The Speedy Tigers, Muhammad Amirul Hamizan Azahar menyifatkan tiga mata ketika berdepan Kanada bukan satu tugas mudah.
“Alhamdulillah, syukur tiga mata diraih pasukan negara selepas tewas kepada Korea Selatan sebelum ini.
“Kanada juga bukan merupakan lawan yang mudah apabila kami ketinggalan sebanyak dua kali sebelum bangkit untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.
Pada masa sama Muhammad Amirul mengakui masih terdapat beberapa kesilapan mudah dilakukan para pemain negara dalam perlawanan tersebut yang perlu diperbaiki sebelum berdepan Jepun.
“Rehat sehari akan kami manfaatkan sebaik-baiknya dengan melakukan analisis permainan sebelum ini bagi mengelak kesilapan mudah berulang selepas ini,” katanya.
Untuk rekod, saingan Kumpulan A Piala Negara-Negara menampilkan pasukan di ranking ke-11 dunia, Perancis selain Ireland (ke-13), Pakistan (ke-17) dan tuan rumah Afrika Selatan(ke-16).
Sementara itu, Kumpulan B pula menghimpunkan Korea Selatan (ke-12 dunia), Kanada (ke-14) dan Jepun (ke-18).
Dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir dengan juara kejuaraan akan layak secara automatik ke Liga Pro FIH yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia bagi musim 2023-2024.
Kejuaraan ini juga merupakan medan persediaan terbaik Speedy Tigers yang akan beraksi di Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India, dari 13 hingga 29 Januari ini.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment