NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Shahrol Shiro, Azhar Sulaiman sokong Zahid berundur


KUALA LUMPUR : Desakan agar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut disokong pelawak, Shahrol Shiro dan pelakon filem Abang 92, Azhar Sulaiman.

Shahrol dan Azhar masing-masing menganggap amat wajar bagi Ahmad Zahid melepaskan jawatan dalam UMNO dan BN berikutan prestasi buruk parti gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Shahrol atau nama sebenar, Shahrol Azizi Azmi, 38, menyifatkan pengunduran Ahmad Zahid dapat memulihkan reputasi parti yang tercemar.

"Alhamdulillah, selesai sudah kita meraikan pesta demokrasi Malaysia. Secara peribadi, saya terima keputusan PRU15 dengan hati terbuka.

"Jelas sekali, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor bukanlah suatu indikator yang boleh diambil untuk pertempuran ini.

"Jangan kita nafikan bahawa kita tidak dapat uruskan persepsi negatif yang dimainkan terhadap parti kita dengan baik terutama presiden dan masalah dalaman yang tidak diselesaikan sebelum pertempuran ini.

"Hari ini, saya sokong kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa presiden perlu berundur dan parti perlu dibersihkan dari peringkat tertinggi sehingga ke akar umbi.

"Bagi laluan kepada muka baharu yang diyakini mampu memimpin parti dengan lebih baik," luahnya melalui Instagram (IG) Story.

Menyedari kenyataannya itu bakal mengguris hati banyak pihak, Shahrol menjelaskan, apa yang disuarakannya adalah demi masa depan parti, bukannya didorong kepentingan peribadi.

"Maaf kepada ahli parti jika ada yang tidak setuju dengan ayat-ayat pahit untuk ditelan ini. Tetapi, percayalah, yang pahit itulah ubat paling mujarab untuk menyembuhkan penyakit.

"Jangan risau, saya tidak akan lari dan meninggalkan saf perjuangan UMNO dan BN. Saya akan tetap bersama untuk membersihkan parti yang kita sayangi ini," katanya yang juga Penolong Bendahari, Pemuda UMNO Kluang.

Sementara itu, melalui hantaran dalam media sosial, Azhar menyalahkan Ahmad Zahid sebagai punca kekalahan BN.

Azhar berpendapat Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab atas kekalahan itu dengan melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO.

"Salam Datuk Seri Zahid Hamidi, saya sebagai ahli UMNO memohon supaya Datuk Seri bertanggungjawab kerana BN kecundang teruk pada PRU15.

"Ini juga adil untuk memohon supaya Datuk Seri turun dari jawatan presiden parti UMNO.

"Ini kerana strategi dan percaturan Datuk Seri tersilap sampaikan kita kecundang teruk terutama daripada persepsi. Siapa dengan saya angkat tangan," katanya.

Pada PRU15, BN hanya menang 30 kerusi berbanding PH yang memperoleh 82 kerusi dan PN sebanyak 73 kerusi.


Sumber I BH Online






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo