NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Shahidan mungkin anugerah Allah buat PN, kata PAS


PAS Perlis menganggap penyertaan Shahidan Kassim sebagai calon PN mengubah PRU ke-15 ini daripada biasa-biasa saja kepada sesuatu yang luar biasa.

Malah Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata apa yang berlaku itu mungkin "anugerah Allah" untuk perikatan terbabit.

"Pertamanya, saya ingat pilihan raya kali ini biasa saja, tetapi dengan penyertaan Shahidan saya tengok perkembangan khususnya di Arau nampak melonjak naik dan sesuatu yang luar biasa berlaku.

"Saya sendiri pun sebenarnya tidak menjangkakan suasana begini. Ini mungkin anugerah Allah kepada PN," katanya kepada media ketika ditemui di Kangar, hari ini.

Pengerusi PN Perlis itu berkata demikian sebagai ketika diminta mengulas situasi kempen gabungan terbabit serta kesan daripada penyertaan Shahidan.

Situasi politik di Perlis menjadi tumpuan ramai selepas Shahidan yang juga menyandang ahli Parlimen Arau memilih bertanding dengan tiket PN apabila tidak dicalonkan BN.

Dia akan berdepan cabaran Rozabil Abd Rahman (BN) dan Fathin Amelina Fazlie (PH).

Tak bincang calon MB

Mohd Shukri yang juga penyandang Adun Sanglang berkata, perjalanan kempen PN di negeri itu berjalan dengan baik termasuk di kawasan yang sukar ditembusi PAS sebelum ini.

"Misalnya di kawasan Wang Kelian, pengalaman saya 30 tahun dalam PAS sebelum ini susah nak buka pusat daerah mengundi (PDM) di situ, amat mencabar.

"Kali ini apabila petugas kami turun ke Wang Kelian, sudah ada khemah yang siap dipasang. Ini petanda yang cukup baik.

"Begitu juga di tempat lain termasuk di kawasan Felda, jadi kita harap momentum ini berterusan dan bertahan hingga hari mengundi," katanya.

Gambar fail

Dalam perkembangan berasingan Mohd Shukri berkata PAS Perlis tidak akan membincangkan isu calon menteri besar, sebaliknya mahu memastikan PN menguasai negeri itu terlebih dahulu.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menyokong untuk wakil rakyat PAS dilantik menjadi menteri besar Perlis jika mereka berjaya merampas negeri itu daripada BN.

"Kita tunggu menang dulu, setakat ini tak bincang langsung. Selalunya calon menteri besar ini PAS pusat akan tentukan.

"Mungkin saya akan dibawa berbincang dengan pimpinan pusat untuk pilih calon menteri besar jika kita dapat menguasai negeri ini," katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo