NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Setelah 39 tahun menanti, akhirnya Malaysia berjaya rangkul Piala Sultan Azlan Shah

Kuala Lumpur: Sejarah tercipta di Stadium Hoki Azlan Shah apabila skuad hoki negara akhirnya berjaya menamatkan penantian 39 tahun dengan muncul juara kali pertama Piala Sultan Azlan Shah selepas menumpaskan Korea Selatan 3-2 dalam perlawanan akhir sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan Malaysian Tigers membalas dendam ke atas kekalahan di perlawanan akhir Piala Asia Jun lalu.

Selepas lima kali muncul naib juara (1985, 2007, 2009, 2013, 2014) akhirnya Malaysia berjaya menamatkan badi berkenaan.

Kedua-dua pasukan dilihat lebih mempamerkan permainan berhati-hati pada suku pertama dengan Korea Selatan sekali-sekala melakukan serangan menuju ke bahagian far post Malaysia.

Selepas lebih banyak bertahan di kawasan sendiri anak buah A Arulselvaraj mula mengorak langkah dengan melakukan serangan pertama pada minit ke-13, namun percubaan Shello Silverius berjaya diselamatkan penjaga gol Korea Selatan, Kim Jaehyeon.

Bagaimanapun, seminit kemudian pemain kelahiran Sabah itu berjaya menebus kesilapan apabila mudah menampan masuk pukulan jauh Faiz Helmi Jali dari sebelah kiri.

Tersentak dengan gol pertama Malaysia, Korea Selatan memasukkan pakar pukulan sudut penalti, Jang Jonghyun.

Secara kebetulan sejurus selepas itu Korea Selatan berjaya dihadiahkan pukulan sudut penalti pertama namun pukulan Jonghyun mengenai kaki Amirul Hamizan Azahar.

Pada pukulan sudut penalti kedua iaitu di minit ke-16, Jonghyun berjaya menghadiahkan gol penyamaan buat Korea Selatan.

Malaysia yang menduduki ranking ke-10 dunia, hampir memperoleh gol kedua pada minit ke-23 namun lorongan Najib Abu Hassan gagal ditampan masuk Norsyafiq Sumantri.

Pada minit ke-35 Malaysia dihadiahkan pukulan sudut penalti sulung, namun percubaan Muhammad Razie Rahim berjaya diselamatkan Jaehyeon.

Bagaimanapun, Razie kembali meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-44 apabila menyempurnakan penalti stroke yang diberikan umpire ketika berlaku keadaan kelam-kabut di pukulan sudut penalti kedua.

Sebaik bersambung suku keempat pemain negara tidak berasa selesa walaupun mendahului perlawanan sebaliknya menggandakan serangan dan berjaya menambah gol ketiga melalui Aminudin Mohd Zain selepas menyambar pukulan Azrai Abu Kamal.

Ketika di hujung aksi Korea Selatan berjaya merapatkan jurang melalui pukulan sudut penalti, Jeon Byungjin namun ia sudah terlambat untuk menghalang skuad negara daripada menjulang trofi Piala Sultan Azlan Shah.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo