PETALING JAYA: Penyandang Parlimen Ketereh yang digugurkan dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan mendengar pandangan akar umbi terlebih dahulu sebelum menentukan perjalanan karier politiknya.
Annuar Musa antara calon “top gun” digugurkan sebagai calon BN yang diumumkan pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi malam tadi, dengan tempatnya digantikan Ketua Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin.
Pengumuman itu juga menjawab teka-teki mengenai kedudukan bekas setiausaha agung BN itu sekali pun berjaya mempertahankan Parlimen Ketereh pada PRU14.
“Alhamdulillah, baru jelas setelah mendengar sendiri keputusan yang mereka buat dan umumkan sebentar tadi. Sebelumnya agak samar kerana langsung tak dirujuk, jauh sekali dari dirundingi seperti mana tertulis di dalam perlembagaan parti.
“Apa pun, kita terima seadanya dan berlapang dada. Kita tutup dulu satu episod, dan kita pandang ke hadapan serta menghitung langkah seterusnya,” katanya di Facebook.
“PRU14 dulu, lebih 25,000 telah mengundi saya. Ahli umno Ketereh cuma 14,000, bererti lebih dari 11,000 undi datangnya dari kalangan bukan ahli Umno.”
Justeru, Annuar berkata, beliau menghargai mereka yang mengundi pada PRU14 dan meminta ahli Umno dan bukan ahli terutama dalam kalangan PAS supaya kekal bersatu padu dan menjunjung semangat Muafakat Nasional yang sama-sama diperjuangkan.
“Untuk perjalanan seterusnya elok saya tinjau pendirian jentera akar umbi saya, serta sentimen rakyat yang mengangkat saya. Elok saya serahkan diri saya kepada rakyat dan biar mereka tentukan perjalanan seterusnya.
“Pastinya jangan dibiarkan cabaran tidak bersahut, tikaman tidak bertepis, fitnah tidak berjawab dan hutang tidak berbayar.
“Elok dahulukan berfikir dengan akal panjang, kemudian bolehlah nanti kita bertindak dengan jiwa yang tenang dan dada yang lapang, Insya-Allah,” katanya.
Annuar adalah Ahli Parlimen Ketereh dua penggal sejak 2013. Pada PRU14 beliau berjaya mempertahankan Ketereh selepas menang dengan majoriti 4,626 undi dalam pertembungan tiga penjuru antara calon PAS, Wan Ismail Wan Jusoh dan Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin yang mewakili Pakatan Harapan.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment