NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selepas Sivarasa digugur, hubungan Rafizi-Anwar makin retak, kata penganalisis


PETALING JAYA:
Perselisihan faham mengenai pengguguran R Sivarasa sebagai calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menyerlahkan persengketaan yang semakin buruk antara dua pemimpin tertinggi PKR – Presiden Anwar Ibrahim dan timbalannya, Rafizi Ramli, kata seorang penganalisis.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, walaupun mereka berdua pernah menjadi “rakan seperjuangan paling rapat”, jelas sekali mereka menjadi “terasing” dari segi politik selepas pemilihan parti 2018.

Buat masa ini, katanya, Anwar dan Rafizi perlu bekerjasama untuk menghadapi PRU15, tetapi ini tidak bermaksud membentuk barisan bersatu.

“Rafizi sudah tentu tidak mahu dipersalahkan kerana tidak meletakkan calon lama tertentu, terutamanya apabila keputusan muktamad dibuat Anwar,” katanya kepada FMT.

Oh mengulas pendedahan Rafizi bahawa beliau mahu mengekalkan Sivarasa untuk kerusi Parlimen Sungai Buloh tetapi cadangannya ditolak oleh Anwar, yang memilih untuk mencalonkan bekas bendahari agung MIC R Ramanan.

Anwar kemudiannya berkata, beliau tidak memilih Sivarasa disebabkan “isu kesihatannya”.

Sivarasa, yang pertama kali memenangi kerusi Sungai Buloh pada 2008, mempertahankannya pada PRU14 dengan majoriti lebih 26,000 undi.

Oh percaya PKR masih mampu mengekalkan kerusi itu.

“Saya rasa mereka yang mengundi PKR mengundi parti, bukannya calon tertentu, terutamanya apabila PKR khususnya, dan Pakatan Harapan (PH) amnya, tidak dikenali dengan jentera akar umbi mereka.”

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, kenyataan Rafizi itu memberikan imej buruk terhadap Anwar, lebih-lebih lagi jika PKR kehilangan kerusi itu.

“Mungkin Rafizi mahu meredakan rasa tidak senang dalam kalangan akar umbi yang mahu Sivarasa mempertahankan kerusi itu,” katanya kepada FMT.

Namun katanya, jelas wujud perpecahan antara Anwar dan Rafizi.

Azmi berkata, pengguguran nama besar seperti Sivarasa, Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) dan Dr Lee Boon Chye (Gopeng) boleh menyebabkan PKR kehilangan undi.

“Sesetengah mungkin membantah dengan tidak mengundi atau merosakkan undi mereka. Undi rosak sama seperti undi untuk pesaing PH,” katanya.

Tambahnya, perkara yang sama boleh dikatakan mengenai pengguguran tokoh popular DAP seperti Charles Santiago (Klang) dan Wong Tack (Bentong).



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo