KUALA LUMPUR - Selebriti, pempengaruh media sosial dan aktivis merupakan antara calon yang mewarnai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan penamaan calon yang berlangsung pada Sabtu.
Mereka antara 945 individu yang bakal merebut 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini di samping calon-calon yang sudah biasa dalam arena pertandingan politik.
Antara yang mencuri tumpuan ialah pengarah filem Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang akan bertanding di Parlimen Port Dickson mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) menentang aktivis sosial Abdul Rani Kulup Abdullah yang sinonim dengan panggilan 'Ayahanda' yang bertanding atas tiket Bebas.
Calon Bebas Abdul Rani Kulup Abdullah (empat, kiri) diiringi penyokongnya untuk menghantar borang pencalonan bertanding bagi Parlimen P132 Port Dickson pada Sabtu.
Turut menarik perhatian pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof yang pertama kali bertanding atas tiket GTA di Parlimen Sabak Bernam yang berdepan persaingan empat penjuru melibatkan pencabar dari BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Selain Ahmad Idham dan Eizlan, pelakon dan aktivis Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai 'Lando' turut bertanding mewakili GTA di Parlimen Tanjong Karang yang menyaksikan pertandingan lima penjuru.
Selain itu, kerusi Parlimen Batu yang mempunyai calon Bebas paling ramai bertanding daripada keseluruhan 10 calon turut dibarisi pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwan Shaharudin atau lebih dikenali dengan gelaran 'Cleopatra' serta peguam dan aktivis Siti Zabedah Kasim yang lebih dikenali sebagai 'Siti Kasim'.
Sementara itu, penerbit dan pengarah, Datuk Jurey Latiff Mohd Rosli turut bertanding di Parlimen Lenggong mewakili PH pada pilihan raya umum ini.
Turut bertanding adalah bekas Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Mohamad Khair Mohd Noor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong di Perlis mewakili Parti Warisan.
Kehadiran selebriti dalam politik bukanlah sesuatu yang asing malah di luar negara golongan itu mampu menjadi tonggak negara seperti bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-40 Ronald Reagan, yang bermula sebagai pelakon Hollywood, berkhidmat dari tahun 1981 hingga 1989.
Beliau yang meninggal dunia pada 2004 berjaya mengemudi AS selama dua penggal setelah memenangi pilihan raya pada 1980 menewaskan bekas Presiden ke-39 Jimmy Carter yang hanya menjadi presiden untuk sepenggal.
Tempoh berkempen PRU15 ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam, 18 November.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment