BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan pengasas Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF), P Waytha Moorthy, hadir dalam ceramahnya di sini, atas jemputan beliau.
Sebaliknya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga calon bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk itu, berkata, kehadiran Waytha Moorthy adalah atas kapasiti bekas Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial itu sendiri, bagi menarik undia masyarakat India di kawasan ini.
"Itu atas kapasiti peribadi dia, bukan (atas) jemputan (daripada) saya," katanya kepada pemberita hari ini.
Kehadiran Waytha Moorthy di Bagan Datuk dikesan sebelum penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (pru15) lagi berdasarkan kepada kain rentang program ceramah yang digantung di sekitar kawasan Hutan Melintang, di sini.
Pada kain rentang itu, terpampang wajah Waytha Moorthy dan empat individu lain bertajuk PRU15: Hala Tuju Pengundi Minoriti India.
Sebelum ini turut tular di media sosial foto memaparkan Ahmad Zahid bertemu dengan Waytha Moorthy yang juga Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) ketika sambutan Deepavali baru-baru ini.
Waytha Moorthy melalui satu rakaman video yang dikongsi di akaun facebook MAP kemudian membuat pengumuman menyokong BN secara rasmi.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan yang tidak menolak kemungkinan BN boleh kekal berkuasa dengan memenangi PRU14 jika Datuk Seri Najib Razak tidak bertanding pilihan raya lalu, berkata ia kenyataan peribadi Saravanan.
"Saya tidak tahulah. Itu kenyataan kenyataan peribadi beliau. Saya tidak mahu ulas lanjut," katanya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment