NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Saya mohon maaf, saya hanya mahu 'prank' anak saudara'


Kuala Lumpur:
'Kreativiti' seorang pemuda, Nur Syahzuan Yunus, 21, yang mahu membuat 'prank' anak saudaranya sempena ulang tahun kelahiran ke-11 kanak-kanak itu, baru-baru ini, mengundang kecaman.

Apa tidaknya, hantaran video yang dikongsikan Syahzuan di aplikasi TikTok itu memaparkan anak saudaranya, Saiful Aniq Rayyan Saiful Fadhirul sebagai gelandangan sebelum dibersihkan dan menjalani 'make over'.

Syahzuan berkata, dia tidak menjangka video itu menjadi tular hingga mencecah 2.9 juta tontonan.

"Tujuan saya bukanlah mencari perhatian atau publisiti untuk menjadi terkenal dengan cara begitu. Niat saya sebenarnya adalah untuk 'prank' anak saudara sempena hari jadi dia yang ke-11 pada 10 November lalu.

"Disebabkan saya belum bekerja dan masih belajar, jadi itu satu cara untuk saya bagi hadiah melalui 'views' atau jumlah tontonan, komen dan tengok reaksi dia macam mana.

"Namun, tidak menjangka pula hantaran itu boleh tular hingga mencecah 2.9 juta tontonan dan hampir 5,000 komen tak sampai 24 jam. Anak saudara saya memang tak tahu perkara itu, hanya saya dan mak dia saja yang tahu," katanya.

Disebabkan itu, Syahzuan memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang sudah menonton hantaran itu kerana menganggap ia kisah benar.

"Ada yang memuji, mendoakan, ada yang sudah tahu itu ia sekadar kandungan. Malah ada yang sanggup memberi bantuan dan yang paling menarik bila kebanyakannya komen 'pulangkan air mata saya'.

"Mungkin disebabkan ayat dan gambar yang saya guna itu menjadikan mereka tertarik sehingga percaya dan terpedaya sebelum melihat orang ramai komen yang mengatakan saya menipu," katanya.

Menurutnya, gambar anak saudaranya berbaju koyak dan kotoran itu hanyalah solekan untuk pertandingan fotografi yang disertai tahun lalu.

"Anak saudara saya tak tahu yang saya nak muat naik di TikTok. Dia cuma nampak saya sunting saja gambar dia dan tanya buat apa. Apabila dia tahu perkara sebenar, dia terkejut sebab sampai berjuta orang tengok dia. Dia pinjam telefon mak dia untuk baca komen lepas tu senyum seorang diri.

"Bila saya tanya apa perasaan, marah tu pasti tapi lebih kepada suka rasanya sebab ramai puji dia kacak. Saya dengan anak-anak saudara memang selalu 'prank' dan buat cabaran. Jadi, giliran dia kena 'prank' kali ini," katanya.

Sebelumnya, foto anak saudaranya yang dijadikan gelandangan itu mendapat sagu hati ke-10 pada pertandingan anjuran PORT Unity Thru Art.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo