Calon Parlimen Khairy Jamaluddin berkata kawasan Parlimen itu pada masa depan akan diwakili presiden Umno dan perdana menteri jika dia menang dalam PRU kali ini.
Namun, Khairy menegaskan cita-citanya itu bukanlah selepas PRU15 memandangkan Ismail Sabri Yaakob adalah calon perdana menteri bagi BN.
Tanpa memberikan garis masa secara jelas, dia berkata harapannya adalah perkara itu tidak akan mengambil masa terlalu lama.
"Kalau saya menang di sini, kalau orang Sungai Buloh menangkan saya, Sungai Buloh bukan hadnya. Saya akan bawa orang Sungai Buloh...satu hari nanti kita pimpin Malaysia, insya-Allah," katanya kepada kira-kira 900 hadirin dalam satu program di Saujana Utama semalam.
"Orang Sungai Buloh sokong saya hari ini...satu hari nanti saya nak pimpin Umno, satu hari nanti saya nak jadi perdana menteri anda.
"Tetapi bukan sekaranglah...Umur saya 46 tahun, boleh tunggu. Sekarang (kalau) kita memang, kekanda saya Ismail Sabri jadi perdana menteri. Saya sedia tetapi saya kena buktikan di Sungai Buloh dulu." katanya lagi.
Dia berkata dia perlu menang di kerusi Parlimen itu - yang dimenangi R Sivarasa dari PKR dengan majoriti 26,634 undi pada PRU lalu - agar dia boleh dengan yakin memberitahu Umno tentang cita-citany untuk memimpin parti itu dan Malaysia.
Bekas ketua pemuda Umno itu bertanding di Sungai Buloh setelah memberi laluan kepada Pengerusi Umno Negeri Sembilan Mohamad Hassan di Rembau - kerusi yang dipegangnya sejak 2008.
Ia boleh dianggap sebagai kubu PH, dengan BN kalah di semua daerah mengundi di situ pada PRU lalu.
Untuk rekod, Umno akan mengadakan pemilihan parti enam bulan selepas PRU15. Khairy tewas di tangan Ahmad Zahid Hamidi untuk jawatan presiden pada pemilihan 2018.
Ketika ceramah semalam, dia berkata senang melihat jumlah hadirin yang ada memandangkan pada PRU lalu, calon BN hanya meraih 800 undi di daerah mengundi di situ.
Turut hadir adalah isteri bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, Jeanne Abdullah, Pengerusi Umno Selangor Noh Omar, penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar Mastura Yazid dan ahli MT Umno Md Alwi Che Ahmad.
Sementara itu, Khairy berkata dia akan membentangkan manifestonya untuk Sungai Buloh pada minggu ini.
"Bukan sekadar manifesto (tapi) setiap tahun saya akan buat laporan tahunan berkenaan belanjawan ahli Parlimen Sungai Buloh. Tuan-tuan (akan dapat) tengok saya belanja untuk siapa dan di mana.
"Kroni tak akan diutamakan, rakyat Sungai Buloh sentiasa diutamakan," katanya lagi.
Antara perancangan Khairy adalah untuk membina sebuah pusat autisme di situ.
Dia meminta pengundi di situ untuk memilihnya agar dapat menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri PH dan dua Adun PH di bawah kawasan Parlimen Sungai Buloh.
"Saya tak boleh selesai semua masalah sebab sebahagiannya tugas pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri. Tetapi saya boleh jadi speaker besar untuk orang Sungai Buloh.
"Kalau sekadar dapat ahli parlimen yang diikuti 5,000 orang di media sosial, orang tak akan perhati. Kebetulan di Instagram, Facebook, Twitter, Tiktok, saya ada lebih lima juta (pengikut)," katanya lagi.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment