BAGAN SERAI: Hanya kerana memiliki nama bapa yang sama, calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bagan Serai, Zul Helmi Ghazali, menjadi mangsa permainan persepsi apabila dituduh sebagai adik kepada penyandang kerusi terbabit, Datuk Noor Azmi Ghazali.
Akibatnya, Pusat Daerah Mengundi (PDM) di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bagan Serai hampir ditutup.
Puncanya, ramai ahli parti tidak berpuas hati dengan Noor Azmi selepas Timbalan Menteri Kesihatan itu mengkhianati mandat yang dimenanginya atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan menyertai BERSATU.
Zul Helmi bagaimanapun menafikan beliau mempunyai pertalian saudara dengan Noor Azmi.
"Ada pihak yang agak nakal cuba mempermainkan persepsi dengan menyatakan bahawa saya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mantan Ahli Parlimen Bagan Serai memandangkan sebutan dan ejaan nama bapa kami serupa.
"Antara kami berdua tiada hubungan kekeluargaan dan ia hanya satu kebetulan," katanya ketika ditemui media pada program ramah mesra dengan kaum Tiong Hwa di sini.
Pemegang Ijazah Sarjana Alam Sekitar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu menyertai saingan empat penjuru di kerusi Parlimen Bagan Serai bersama calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Idris Ahmad, selain Siti Aishah Shaik Ismail dari Pakatan Harapan (PH) dan Ahmad Luqman Ahmad Yahaya dari Pejuang Tanah Air (PEJUANG).
Beliau yang juga bekas Ketua Penolong Pengarah (Pegawai Sains Kanan) di Jabatan Tenaga Atom di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi antara calon baharu anak tempatan yang diketengahkan UMNO Bahagian Bagan Serai bagi memastikan kerusi Parlimen itu kembali ke tangan BN.
Dalam pada itu, Zul Helmi ketika ditanya mengenai misi beliau, mengakui berazam untuk membawa iltizam iaitu mengukuhkan ekonomi, pendidikan perdana, serta menambah baik infrastruktur sedia ada dan mengimarahkan aktiviti kerohanian seperti subuh akbar dan aspek kesihatan bagi seluruh rakyat Bagan Serai.
Pada PRU14, Noor Azmi Ghazali yang bertanding atas tiket BN menang dengan majoriti 172 undi dalam saingan tiga penjuru dengan calon PAS, Siti Rohaya Bakar dan calon PKR, Adam AsmunƬ.
Noor Azmi kemudian keluar parti menjadi ahli Parlimen Bebas sebelum menyertai BERSATU.
Pada PRU15, Noor Azmi tidak dicalonkan semula di kerusi berkenaan dan digantikan Idris yang juga Naib Presiden PAS, yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment