Zainol Fadzi Paharudin berkata penduduk dapat menilai gerak kerja serta rekod cemerlangnya sebagai exco kerajaan negeri. |
TELUK INTAN: Calon Perikatan Nasional Parlimen Teluk Intan, Zainol Fadzi Paharudin tidak menyangka mendapat penerimaan yang baik daripada penduduk di daerah itu.
Beliau yang juga bekas ADUN Sungai Manik berkata, sokongan diterima setakat ini mungkin kerana penduduk tahu menilai gerak kerja serta rekod cemerlangnya sebagai exco kerajaan negeri.
“Saya bukan kerja bermusim, rakan media tahu selepas menang, saya terus menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Macam biasa dan pekerjaan itu adalah rutin saya. Saya tidak sangka menerima sambutan amat baik penduduk Teluk Intan.
“Bekerja sebagai wakil rakyat, saya tidak sama seperti segelintir wakil rakyat yang lain. Saya akan pegang amanah dan kerja saya dengan baik. Rakyat boleh lihat sendiri apa sahaja yang saya jalankan, saya juga mudah didekati,” katanya kepada FMT.
Zainol berkata, selain mengangkat isu tempatan, fokusnya juga adalah kepada pembangunan dan pemodenan yang mampu memberi impak lebih besar kepada penduduk.
Katanya, pembangunan dan pemodenan itu bukan sahaja menarik pelancong dari dalam dan luar negara, sebaliknya ia juga mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda.
“Antara perkara paling besar yang mereka laungkan ialah membangunkan Teluk Intan, walaupun Teluk Intan ada Menara condong, tapi mereka mahukan impak yang besar kepada penduduk.
“Tetapi kita hanya ada program berkala, tidak tetap, kenapa tidak kita adakan sesuatu yang tetap memandangkan Teluk Intan menjadi destinasi wajib mesti dikunjungi apabila datang ke Perak,” katanya.
Menurutnya, Teluk Intan masih kekurangan daya tarikan meskipun berpotensi menjadi kawasan pelancongan, justeru beliau mahu pembangunan yang bakal dibentuk mampu merangsang sektor pelancongan agar mampu menyediakan pakej pelbagai dan menarik.
“Tarikan tambahan bukan semata-mata Menara Condong kena ade, pakej agar pengunjung bermalam di sini lebih lama. Sektor pelancongan boleh memanfaatkan pembangunan dan keunikan sedia ada di daerah ini untuk menarik pelancong,” katanya.
Sementara itu, mengenai perkembangan kempen, Zainol berkata, selain aktif di media sosial, beliau masih mengekalkan tradisi berkempen dari rumah ke rumah untuk melihat sendiri isu dan masalah penduduk.
Ditanya berhubung keyakinan berentap dengan pencabar hebat daripada parti lain, bagi Zainol setiap calon mempunyai cara tersendiri, dan setakat ini beliau lebih selesa bertanding secara sihat tanpa membuat serangan peribadi kepada calon lain.
Sumber I FMT Malaysia
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment