NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saarani akan pertahankan hubungan BN-DAP/PH sehingga akhir penggal



KUALA LUMPUR:
Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui kerajaan negeri Perak akan dipertahankan sehingga akhir penggal demi pembangunan dan kesejahteraan rakyatnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau tidak pasti mengapa ada pihak yang mengharapkan selepas enam bulan kerajaan ini akan runtuh.

Sepatutnya, beliau berkata, mereka berdoa untuk melihat kerajaan ini dipertahankan dan beliau yakin apabila BN bersama PH bersetuju membuat keputusan menubuhkan kerajaan bersama sudah tentu ada kesefahaman yang dipersetujui.

"Malah saya dimaklumkan, siang tadi (semalam) ada mesyuarat pertama PH di Ipoh, Perak buat kali pertama selepas pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya difahamkan Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam perjumpaan itu bertekad untuk memastikan kerajaan ini sehingga akhir penggal," katanya kepada media selepas Majlis Makan Malam Menteri Besar Perak bersama media di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Saarani berkata, PH yang mempunyai jumlah kerusi lebih banyak mengharapkan kerajaan ini sehingga akhir penggal dan tidak mahu berlaku sebarang perubahan kerajaan, jadi BN yang hanya ada sembilan kerusi tidak mungkin ingin meruntuhkannya.

"Kita sambut baik dan sebab itu kita sudah setuju untuk tubuh kerajaan bersama malah saya berharap tidak ada orang yang berdoa kerajaan ini jatuh dalam tempoh enam bulan.

"Kita ada agenda lapan tahun untuk bangunkan negeri ini dan saya juga ada memaklumkan dalam mesyuarat exco hari itu kita meraikan perbezaan pendapat apatah lagi kerajaan dibina dalam dua kumpulan berbeza tetapi dapat duduk semeja pada saya ia satu petanda baik buat rakyat Perak," katanya.

Beliau berkata, parti ini masih berbeza di mana PH dengan perlembagaan dan hala tujunya sendiri begitu juga dengan BN.

"Jadi saya tidak lihat apabila penubuhan kerajaan bersama ini akan membawa kepada perubahan dasar dan hala tuju BN.

"Sekarang ini apabila kita bersetuju menubuhkan kerajaan bersama kita akan cuba sebaik mungkin mengurangkan perbezaan pendapat dengan fokus utama membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat," katanya.

Mengenai cadangan pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri

tertakluk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau merasakan dapat membantunya dalam kerajaan.

Secara peribadi, beliau tidak mempunyai masalah jika Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Mengikut Perlembagaan hanya ada jawatan Perdana Menteri manakala Timbalan Perdana Menteri dilantik secara pentadbiran.

"Jika Perdana Menteri berasa bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk (Ahmad Zahid) boleh dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk membantu beliau maka tiada masalah. Tiada bantahan daripada saya berhubung pelantikan itu," katanya.

Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii dilaporkan berkata, pemilihan calon Timbalan Perdana Menteri dari BN bagi mengisi slot pentadbiran Kerajaan Perpaduan perlu dibuat berdasarkan hierarki parti.

Sehubungan itu, beliau berkata, berdasarkan hierarki parti, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah calon yang perlu menggalas jawatan berkenaan.

Sementara itu mengulas mengenai Akta Antilompat Parti, Saarani berkata, dalam mesyuarat exco pertama, pihaknya sudah bersetuju dan sedang mengambil tindakan sewajarnya di mana proses sedang diikuti.

"Kita akan mengguna pakai apa yang sudah diluluskan di Parlimen...jadi saya yakin ia akan dibawa di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 19 Disember ini dan ia akan diluluskan," katanya.






........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo