HULU TERENGGANU - Penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berjaya mempertahankan kedudukannya di kawasan tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.
Rosol yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) memperolehi 42,910 undi, menewaskan pencabar terdekatnya, calon BN, Datuk Rozi Mamat dengan majoriti 15,734 undi.
Rozi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong dan kali pertama bertanding di Parlimen mendapat 27,176 undi.
Kemenangan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Terengganu, Adnan Abdullah di pusat penjumlahan undi, Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu pada jam 11.10 malam.
Calon Pakatan Harapan (PH), Alias Ismail pula memperoleh 1,740 undi manakala Mohd Khadri Abdullah yang bertanding mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendapat 182 undi sekali gus hilang wang deposit.
Pada PRU14, Rosol yang bertanding atas tiket BN memperoleh sebanyak 30,925 undi menewaskan calon Pas, Muhyidin Abdul Rashid (28,057 undi) dan calon Bersatu, Datuk Razali Idris (3,374 undi).
Bagaimanapun, Rosol memutuskan keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018.
Parlimen Hulu Terengganu mempunyai 87,917 pengundi berdaftar.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment