PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin menjadi pemimpin Umno terbaharu yang menggesa Presidennya dan Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan kekalahan gabungan itu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Timbalan ketua Umno Bahagian Rembau itu secara berkias berkata, panglima besar mesti mempunyai maruah untuk bertanggungjawab atas kekalahan dalam peperangan.
“Lebih-lebih lagi bila strategi perang diatur oleh panglima besar telah sebabkan ramai soldadu di medan tersungkur.
“Presiden mesti undur. Sekarang. Reformasi Umno tidak boleh ditangguh lagi,” tulisnya di Twitter.
Bekas menteri kesihatan itu antara nama besar yang tersungkur dalam PRU15. Ini kali pertama beliau kalah dalam PRU sejak 2008.
Beliau tewas dalam saingan tujuh penjuru di Parlimen Sungai Buloh dengan majoriti 2,693 undi. Calon Pakatan Harapan, R Ramanan menang dengan 50,943 undi, menewaskan Khairy yang mendapat 48,250 undi.
Terdahulu, MCA dan MIC menyusul Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi serta Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad menggesa Zahid berundur.
Mereka berkata, Zahid perlu “berjiwa besar” seperti Najib Razak yang berundur selepas kekalahan BN pada PRU14.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment