Calon BN Khairy Jamaluddin berharap untuk melakukan 'pembersihan' dalam Umno jika menang kerusi parlimen Sungai Buloh.
Katanya, jika dia dapat menawan Sungai Buloh dia akan membawa perubahan kepada negara, Umno dan BN.
Bekas ahli parlimen Rembau itu turut mengakui ramai orang menyuarakan kepadanya bahawa mereka 'tidak gemar' segelintir pemimpin Umno yang tidak dinamakannya.
"Saya tak mahu berhenti di Sungai Buloh semata-mata kerana bertanding di sini cabaran terbesar dalam kerjaya politik saya. Nak menang di sini bukan mudah, tetapi kalau saya menang, saya nak bawa kita semua, bukan sekarang tetapi mungkin lima atau 10 tahun akan datang untuk menerajui pimpinan negara.
"Saya juga mahu bawa perubahan kepada parti saya (Umno) dan mahu Umno dilihat semula sebagai wadah mulia untuk masyarakat Melayu. Sekarang ini ramai jumpa dan maklumkan saya, bukan mereka tak suka Umno tetapi kurang berkenan dengan beberapa (individu) dalam Umno.
"Media janganlah pula lagakan saya dengan Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) tetapi ini kenyataan dan realitinya. Saya dan rakan lain mahu kembalikan Umno sebagai wadah Melayu yang mulia, bersih, berubah dan memiliki pemimpin bagus dan mampu diberi kepercayaan seperti suatu ketika dahulu," katanya, menurut laporan BH Online.
Menteri kesihatan itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturrahim bersama Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (Perakam) di Kelab Rahman Putra malam tadi.
Seterusnya, Khairy juga menyindir partinya itu berkata Umno perlu diperbaiki.
“Ini kita cakap yang benar. Janganlah berselindung lagi. Orang Melayu sentiasa ada (perasaan) sentimental terhadap Umno. Cuma Umno ini dah sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan dan perlu diperbetul semula.
"Saya nak menang PRU15 untuk memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri. Selepas itu kita bersihkan semula Umno serta bawa balik keyakinan rakyat.
"Saya ini reformis dalam Umno dan tak boleh kunci mulut saya. Sebab itulah dihantar ke Sungai Buloh. Kalau tiada sesiapa berani ketengahkan, sampai bila-bilalah tak akan berubah.
"Sebab itulah pertaruhan saya kali ini bukan semata-mata untuk Sungai Buloh sahaja tetapi untuk masa depan negara, Umno dan BN.
"Kalau saya menang insya-Allah kita boleh melihat perubahan besar. Bermula dari Sungai Buloh dan berakhir ke Putrajaya," katanya lagi.
Mengulas cabarannya bertanding di Sungai Buloh, Khairy berkata buat julung kalinya, ada wakil Umno yang memegang jawatan menteri berani untuk bertanding di kawasan tidak selamat di Selangor.
"Selama ini tokoh besar dalam parti saya selalu cuba, dan memilih kawasan selamat. Sebab itu tiada saingan yang hebat di Selangor. Kalau dulu yang menang Tan Sri Noh Omar saja. Itu pun di Tanjong Karang.
"Nak datang sedikit bandar macam Sungai Buloh tiada siapa yang berani. Kuala Selangor pun tiada yang berani, kecuali (Menteri Kewangan) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pergi ke Kuala Selangor.
"Biarpun ada sedikit kenyataan saya dan Presiden (yang berbeza), akhirnya saya juga yang pilih untuk lawan di sini," katanya.
Bekas ketua pemuda Umno itu bertanding di Sungai Buloh setelah memberi laluan kepada Pengerusi Umno Negeri Sembilan Mohamad Hassan di Rembau - kerusi yang dipegangnya sejak 2008.
Ia boleh dianggap sebagai kubu PH, dengan BN kalah di semua daerah mengundi di situ pada PRU lalu.
Untuk rekod, Umno akan mengadakan pemilihan parti enam bulan selepas PRU15. Khairy tewas di tangan Ahmad Zahid Hamidi untuk jawatan presiden pada pemilihan 2018.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment