TIOMAN – Meskipun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah berakhir dan Kerajaan Persekutuan telah dibentuk namun, masih ada dua lagi perlumbaan kerusi masih direbut iaitu DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai.
Rakyat selaku pengundi sekarang sudah bijak menilai yang mana intan yang mana kaca, jika mandat diberikan namun disia-siakan maka pemimpin akan rebah dalam kotak undi.
Suara.TV berkesempatan meninjau maklum balas daripada pengundi di DUN Tioman memandangkan mereka akan keluar mengundi sekali lagi pada 7 Disember ini bagi memilih ADUN.
Seorang penjaja buah, Noraini Salleh, 37, berkata sebagai sebagai orang peniaga kecil dan penjaja apa yang diharapkannya ialah seorang wakil rakyat yang boleh membantu rakyat terutama sekali apabila berdepan kesulitan seperti ketika pandemik Covid-19 tidak lama dulu.
“Biasa kat sini Umno pegang, saya tengok kerja-kerja dia buat okaylah. Saya akan keluar mengundi 7 Disemberi ini, itu tanggungjawab kita sebagai rakyat.
“Kita akan tengok yang mana banyak bantu rakyat, tak kisah mana-mana (parti) janji bantu. Harapnya ada wakil rakyat yang bantu peniaga kecil, penjaja macam saya… bagi tempat niaga yang sesuai, sekarang ini saya bayar permit saja dengan Majlis Daerah Rompin,” katanya.
Sementara itu, ditanya pendapatnya mengenai gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), Noraini berkata, dia boleh menerimanya asalkan pimpinan dan kerajaan yang ditubuhkan itu tidak menyusahkan rakyat.
Manakala, kerani, Siti Noraiman Nadila Zainal Abidin, 28, pula berkata, ADUN sebelum ini tidak banyak membantu rakyat malah tiada sebarang bantuan dihulur sama ada bantuan Covid-19, banjir mahupun bantuan buat ibu tunggal.
“Pilihan raya 7 Disember ini saya pasti keluar mengundi, saya sekeluarga dah tahu nak undi siapa. Wakil rakyat sebelum ini tak banyak bantu rakyat, malah permohonan tanah dan rumah di Pulau Tioman juga tidak dapat kelulusan meskipun naik turun pejabat tanah banyak kali tetap tak dapat.
“Kami pengundi DUN Tioman inginkan perubahan, asyik berdepan masalah sama saja. Wakil rakyat seperti mengutamakan kroni saja, tiada sebarang bantuan dihulur ketika rakyat susah…semua kena selesaikan sendiri,” luahnya.
Penjual air kelapa, yang hanya mahu dikenali sebagai Awang, 38, berkata dia kurang berpuas hati dengan khidmat ADUN sebelum ini kerana tidak membantu peniaga kecil.
Dia yang sebelum ini pernah berniaga di tapak belakang bank dan tepi pantai namun dihalau dan kini berpindah di tepi jalan Rompin-Endau.
Bahkan, Orang Asli suku Jakun di Kampung Deraman juga ada mengadu masalah pemilikan tanah dan baik pulih rumah daif tidak diselesaikan.
Mereka yang kebanyakan bekerja sebagai nelayan sungai dan penanam tembikai juga tidak mendapat apa-apa bantuan daripada wakil rakyat.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan seorang Bebas.
Calon wanita tunggal Nor Idayu Hashim yang mewakili PN dicabar oleh calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang juga penyandang kerusi itu, selain Osman A Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment