KUANTAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Pahang masih dalam keadaan tergantung ketika ini selepas tiada gabungan parti politik berjaya meraih majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketika rundingan masih dijalankan, pengundi dan rakyat Pahang mahukan kerajaan negeri dapat dibentuk dalam masa terdekat.
Bagi Nizamudin Mahir, 25, beliau mahukan agar sebarang rundingan parti politik membawa kepada pembentukan kerajaan negeri dalam masa terdekat.
"Ini kali pertama kali mengundi ini, kerajaan dah lain-lain kan... Saya risau juga kalau mana betul, mana salah, tapi kita dah buat pilihan dan saya sudah pilih yang terbaik.
"Kita risau juga sebab tiada yang memimpin lagi (kerajaan negeri), kita harap benda ni cepat selesai dan tidaklah lama tergantung," katanya.
Luahan sama oleh Faiq Syazwan Agil, 22, yang mahukan keputusan siapa yang bakal mentadbir negara dipercepatkan demi rakyat.
"Pada pandangan saya, benda ini tidak seharusnya berlaku. Rakyat kita perlukan keputusan cepat untuk mendapat jawapan kepada pengundi, supaya tidak ada apa-apa masalah akan timbul selepas ini," katanya.
Lain pula suara Agil Mohamad, 55, yang berasakan situasi ketika ini tidak adil selepas rakyat bersusah payah turun mengundi pada Sabtu lalu.
Ujarnya, rakyat telah membuat pilihan, namun rundingan menerusi proses demokrasi yang sedang berlangsung ketika ini sedikit sebanyak meresahkan rakyat.
"Saya rasa tidak sepatutnya perkara ini berlaku memandangkan pengundi-pengundi kita sudah mengundi jadi sepatutnya kerajaan harus percepatkan tentang urusan kerajaan.
"Kita masih tergantung dan tiada siapa boleh memerintah, jadi bagi saya tidak adil kepada pengundi-pengundi yang telah bersusah payah turun mengundi memilih calon untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.
PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya meraih 17 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN), 16 kerusi DUN dan Pakatan Harapan (PH) hanya berjaya menawan lapan kerusi DUN.
DUN Pahang masih tergantung selepas tiada gabungan politik yang mendapat majoriti mudah 22 kerusi membentuk kerajaan negeri.
Ketika ini, satu kerusi DUN di Tioman akan dijalankan proses pengundian pada 7 Disember depan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada awal pagi Sabtu.
Astro AWANI akan membawa perkembangan terkini dari semasa ke semasa mengenai pembentukan kerajaan negeri Pahang.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment