NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rafizi: Telah menguji, sedang menguji akan menguji

Rafizi nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat cerita politik tanahair. Bukan kerana jasa, tetapi lebih dikenali sebagai pendusta. Dusta yang pada kebiasaan dilakukannya bukan sedikit dan kecil. Dusta yang benar-benar mahu menghina dan menjatuhkan orang.

Anehnya pendusta sebegini, masih mempunyai ramai peminat dan dikatakan golongan terbesar dari kalangan peminatnya itu adalah kumpulan profesional. Sehingga kini, walau setelah dibuktikan dengan banyak penipuannya, Rafizi tetap berada tersemat dalam hati sanubari peminatnya. Mereka tetap mahukan lelaki itu sebagai pemimpin. Bagaimana ia terjadi?

Rafizi telah menguji rakyat Malaysia dengan kemunculannya sebagai wira untuk menyelamatkan rakyat Malaysia. Waktu itu, apa sahaja cerita negatif berkenaan BN, rakyat yang bukan ahli tegar BN, akan cenderung mempercayainya. Maka wujudlah kumpulan-kumpulan seperti 'whistleblowers' yang mendedahkan kebrobokan BN.

Awalnya cerita yang diberikan itu adalah benar belaka dan ia untuk kepentingan rakyat. Kemudian perlahan-lahan agenda peribadi dan partinya dimasukkan dengan mencampurkan fitnah dan penipuan dalam hikayatnya. Masih lagi rakyat percaya kerana kedalaman penipuan itu berada ditahap yang munasabah.

Setelah mengetahui rakyat sudah mengenali beliau sebagai pendedah skandal yang begitu berani, tidak takut kepada ugutan kerajaan, maka penyokongnya bersetuju menabalkan dirinya sebagai wira negara bagi melawan BN. Dengan data-data dan fakta-fakta, diperkenalkan sebagai salah seorang juara pendebat, kepetahan berhujah yang ditunjukkan, dia semakin dipercayai sebagai bijak, walaupun belum tentu fakta dan datanya itu benar.

Berbagai formula yang beliau keluarkan yang akhirnya bukan sahaja memakan diri, malahan juga gabungan politik yang turut bersamanya. Langkah Kajang sebagai contoh. Dia tetap tersenyum kerana akuan penyokong kepada dirinya sebagai seorang yang dikatakan bijak itu, menguatkan lagi keyakinan dia untuk meneruskan usaha penipuannya.

Ramai yang menyakini pendedahan Rafizi yang membawa kepada penceritaan tentang dirinya dalam Petronas dengan gaji yang besar dan jawatan yang besar kerana fitnah dari seseorang yang mengatakan dia dikenakan tindakan disiplin oleh Petronas, adalah cerita rekaan yang hanya berniat untuk dia menceritakan tentang dirinya yang kononnya hebat itu. Naik lif, kata orang Bersungguh melayan cerita yang dia kata fitnah, tetapi tidak pula menyaman si pencerita itu. Pelikkan?

Banyak lagi kisah lalu yang sebenarnya sudah terang dan bersuluh dimainkan Rafizi sebagai fitnah dan penipuan. Jika dekat dengan PRU, maka cerita tentang salahlaku orang, akan dia naikkan kerana mahu rakyat tertumpu kepada musuhnya. Dia sibukkan musuhnya menjawab fitnahnya yang dia tidak melaporkan kepada pihak berkuasa. Bacul dan penakut, itulah cara dia berkempen.

Sekarang Rafizi sedang menguji rakyat bagi melihat sejauh mana keyakinan rakyat terhadap dirinya. Dengan cubaan mengenakan Timbalan Presiden PAS yang dikenali orang dengan kebaikan, sopan, lemah lembut, beramanah dan semakin diyakini PAS mampu mentadbir, Rafizi sudah memasuki kedalaman paya pembohongan yang agak melampau. Dia tidak bimbang lemas kerana sudah terbukti caranya dahulu, diterima sebahagian rakyat.

Dia sememangnya berani kerana dia mencari Dato' Tuan Ibrahim yang beliau mungkin yakin, apabila nama baik TITM berjaya dirosakkan, maka PAS akan dapat dikalahkan. Kenapa dia tidak melaporkan kepada SPRM? Kerana yang pertama bukti tiada. Kedua kerana jika ada buktipun, siasatan akan memakan masa yang lama, mungkin PRU sudah habis, sebab isu ini hanya laku waktu PRU. Ketiga alasannya ialah sudah banyak laporan yang dibuat, tetapi tidak dilayan. Ini paling kelakar.

Sewaktu SPRM dikuasai oleh Latheefa Koya dari PH, kenapa tidak diadukan kes rasuah RM90 juta dahulu? Atau lain-lain salah laku musuh politiknya dahulu? Ya, jawapannya mudah, kerana tiada bukti. Dia hanya memberikan alasan. Alasan tiada tindakan ialah paling bodoh kerana apabila dia menyebutkan dahulu PRU terlalu banyak penipuan, kenapa sehingga kini, dia masih menyertai PRU? Baik boikot sama sahaja, tiada tindakan.

Akhirnya dia akan terus menguji rakyat untuk terus berada dalam perhatian rakyat. Dia tidak peduli dosa pahala, dia tidak peduli tentang maruah. Dia sememangnya tidak tahu malu. Imbas balik apa yang telah dia lakukan terhadap allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim, menjadi bukti yang dia adalah sejenis tidak takutkan Allah. 

Tetapi dia peduli apa kerana penyokong dia juga sejenis itu. Lihat Firaun, walau sudah terang kezaliman dilakukan, tetaplah juga ada penyokongnya. Sekarang ini dia mahu kita bercakap hal perkara yang tidak pasti mengenai PAS sambil melupakan kejahatan dan salah laku mereka yang sudah terbukti.

Yang kita bimbangkan ialah golongan cerdik pandai yang tetap menyokong dia walau sudah terbukti banyak penipuan yang dia lakukan. Pemikiran golongan ini akan menghancurkan negara. Ketika musuh PAS mendakwa wala' dalam PAS adalah candu, sekalipun tindakan PAS benar menurut apa yang Islam bawakan, mereka menjadi lupa apa pula gelaran wala' mereka kepada Rafizi. Inilah dinamakan taksub membuta tuli.

Cuma satu yang Rafizi lupa, Allah juga telah, sedang dan akan terus mengujinya. Dan gagal atau lulusnya ujian Allah itu, akan memastikan tempat seseorang hamba itu di akhirat nanti. Kita boleh berbuat apa sahaja waktu hidup, tetapi ingatlah yang kita pasti akan mati.

Mohd Nasir Abdullah
11 November 2022

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo