Kredit foto: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) |
GEORGE TOWN, 14 Nov (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) memeterai kerjasama strategik bagi meneroka peluang dalam meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan penabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk menjamin masa depan pendidikan anak-anak.
Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata kerjasama itu dimeterai melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijalankan hari ini sebagai salah satu usaha proaktif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terutama generasi muda yang bakal menjadi ibu bapa mengenai penabungan.
"Melalui kerjasama strategik ini, kedua-dua pihak akan berganding bahu dalam membangun, menyokong dan memperkasa usaha-usaha penyelidikan dalam mengenal pasti kaedah untuk meningkatkan bayaran balik pinjaman pendidikan dan simpanan pendidikan bagi jaminan masa depan pendidikan anak-anak.
"Kerjasama PTPTN dengan USM telah terjalin sejak dahulu lagi dan kerjasama ini dilihat sangat tepat sebagai salah satu usaha proaktif serta sangat signifikan untuk mendidik para pelajar tentang kepentingan membuat bayaran balik pinjaman bagi kelestarian pinjaman kepada generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MoU itu telah ditandatangani Ahmad Dasuki mewakili PTPTN manakala USM pula diwakili Prof Datuk Dr Narimah Samat yang menjalankan Fungsi Naib Canselor USM. Majlis yang berlangsung di USM itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Dato Seri Abdul Razak Jaafar.
Sementara itu Narimah berkata USM mengalu-alukan kerjasama strategik itu dan dengan kekuatan kepakaran dalam bidang pengurusan perniagaan serta kewangan yang dimiliki universiti itu dan pengalaman yang luas dalam pengurusan pinjaman pelajar yang dimiliki PTPTN, kedua-dua pihak mampu menjalankan penyelidikan bersama yang dapat mencetuskan idea baharu, khususnya dalam bidang literasi dan perancangan kewangan.
Katanya pada masa sama, kerjasama itu juga diharap dapat membangunkan modal insan dalam kalangan pelajar USM melalui pelbagai inisiatif program kemahiran yang berkualiti supaya siswazah dapat memenuhi keperluan industri apabila tamat pengajian nanti.
"PTPTN dan USM bersetuju untuk bekerjasama merangkumi pelbagai skop antaranya meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan yang berkualiti agar berupaya memenuhi keperluan industri serta pembudayaan penabungan Simpan SSPN bagi seluruh warga USM melalui pelbagai program.
Selain itu kerjasama tersebut juga dibuat menerusi penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan dan penyampaian informasi serta promosi melalui medium hebahan yang bersesuaian," katanya.
Beliau berkata dengan kemudahan penyelidikan dan pembelajaran, pengalaman serta kumpulan pakar pelbagai bidang dalam kalangan kakitangannya, USM telah melaksanakan banyak kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usahanya untuk meningkatkan pengisian penyelidikan dan mengukuhkan jaringan industrinya.
Menurutnya manakala PTPTN adalah sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk menguruskan pinjaman bagi tujuan pendidikan tinggi serta mempunyai peranan besar dalam pembangunan modal insan negara dan PTPTN juga telah menyediakan skim simpanan melalui Simpan SSPN bagi tujuan pendidikan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.
-- BERNAMA
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment