ALOR SETAR: Seorang wanita warga emas mendakwa tidak dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini selepas dimaklumkan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namanya sudah diguna pakai oleh individu lain yang tidak dikenali.
Zaleha Abdul Rahman, 75, mendakwa dia terkejut apabila petugas SPR menyemak nama dan MyKad miliknya berulang kali namun masih mempunyai status yang sama iaitu sudah mengundi.
Katanya, ketika itu dia baru tiba di pusat mengundi di sebuah sekolah rendah di Kota Sarang Semut jam 9.55 pagi tadi sambil ditemani anak perempuannya, Zuliza Ramli, 38.
"Apabila dimaklumkan mengenai perkara itu saya tidak berpuas hati kerana masih belum mengundi pada ketika itu.
"Saya bukan pengundi baharu, tetapi sudah bertahun-tahun mengundi di tempat mengundi sama. Kenapa perkara ini berlaku?.
"Saya tidak pernah kehilangan MyKad sebelum ini, malah turut menggunakan MyKad itu untuk mengeluarkan wang di bank serta perkara lain, tetapi terkejut apabila berlaku perkara seperti ini," katanya ketika ditemui di Jalan Stadium, hari ini.
Zuliza berkata, dia dan ibunya sudah membuat laporan di Balai Polis Kota Sarang Semut berhubung perkara itu dan berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata siasatan masih dijalankan.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment