NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15: Presiden PBS tumbang di Kota Marudu

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, tewas di kerusi Parlimen Kota Marudu yang cuba dipertahankannya untuk kali ketujuh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu tewas di tangan pencabar terdekatnya, Datuk Wetrom Bahanda dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dengan majoriti 8,174 undi.

Maximus yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapat 16,144 undi berbanding Wetrom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau yang mendapat 24,318 undi.

Turut tewas dalam persaingan enam penjuru di kerusi itu ialah calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Mohd Azmi Zulkiflee (279 undi); calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Shahrizal Denci (3,225 undi); calon Parti Warisan (WARISAN), Datuk Jilid Kuminding @ Zainuddin (5,320 undi) dan seorang calon Bebas, Norman Tulang (660 undi).

Keputusan rasmi bagi kerusi Parlimen Kota Marudu adalah yang terakhir diumumkan daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah berikutan tiga kotak undi dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Magandai baru tiba di pusat penjumlahan undi Parlimen Kota Marudu pada jam 6 pagi ini.

Ketiga-tiga kotak undi itu tidak dapat dihantar ke pusat penjumlahan undi malam tadi disebabkan banjir yang menjejaskan perjalanan balik petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari PDM terbabit.

Maximus yang menyandang kerusi Parlimen Kota Marudu sejak 1995 adalah satu-satunya presiden parti yang bertanding pada PRU15 di Sabah tewas di kerusi yang ditandingi.

Tiga lagi presiden parti iaitu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau dan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masing-masing berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Keningau, Tuaran dan Semporna.

- BHarian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo