NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15 : Masa untuk menaikkan yang betul-betul membantu rakyat

KEPADA pengundi;

Amati betul-betul calon pilihan raya masing-masing. Lihat wajahnya, lalu lihat air mukanya. Ketahui perangainya. Bilang jasanya, ketahui budinya. Adakah dia hanya pemimpin semasa cuaca cerah, tetapi ketika tengkujuh dia menghilang

Perhatikan, selama ini adakah sering dia berjanji dusta. Bila sembang, gajah pun boleh terbang. Cari yang elok, kedua, bijak.

Jangan nanti menyesal tak sudah. Marahkan nyamuk kelambu dibakar. Menang sorak kampung tergadai. Pengalaman tiga kerajaan, tiga Perdana Menteri, dasar tunggang langgang, lintang pukang sudah ditempuh. Bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru.

Jangan lagi dibiarkan diri diperangkap tindak tanduk segelintir mereka yang berlagak ‘pemimpin’. Tapi rupanya indah khabar dari rupa – gara-gara buruk ‘ikan mula busuk di kepala, bukan di ekornya’.

Pengundi Melayu harus beri teladan berguna 19 November ini. Jangan bosan menyatukan semula bangsa. Politik Melayu harus mewakili wajah sebenar orang Melayu. Bukan bertopengkan kebendaan dan jawatan demi kuasa yang mahu diligan.

Melayu berhak menepuk belakang sendiri. Kalau penyakit hasad dengki saling berebut jawatan dalam kalangan pemimpin politiknya tidak dikikis, apa yang diimpi hanya kegelapan menanti.

Ajarkan si oportunis, si kluster mahkamah. Tak selamat untuk dipilih mereka di kala politik tanah air masih bergantung keperluan parti teras. Jangan biarkan berulang kembali ‘SD, Langkah Kajang, Langkah Sheraton’ yang memalukan negara di luar sana.

Ketika banyak negara tetangga bangkit dari hari ke hari, bulan ke bulan, tahun ke tahun, masih lagi kita terperangkap dalam kemelut politik sia-sia.

Berurusan dengan warlord dan politikus yang ‘masuk politik’ untuk kejar pangkat, kekayaan poket sendiri.

Kejayaan tidak jatuh bergolek ke kaki dengan kita cuma perlu kutipnya sahaja. Itu angan-angan di siang hari. PRU15 ini penentu – satu-satunya ruang dan peluang untuk rakyat memilih kerajaan berwibawa.

Ada parti mempunyai maksud tidak ikhlas, penuh hipokrasi. Sangat teringin ada pejabat di Putrajaya. Teruja mahu tinggal di Seri Perdana. Hanya mahukan kuasa – yang dikhuatiri dari semasa ke semasa makin biadab, rakus lagi haloba.

Politik Melayu tidak boleh seadanya sahaja, sekadarnya jua. Ingat! Bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah ‘kendur berdenting-denting, tegang berjela-jela.

Kepada pengundi;

Masa untuk mengubah segalanya sudah tiba. Pengalaman selepas PRU14, jelas menunjukkan siapa yang ikhlas dan siapa yang bermuka-muka membantu rakyat. Dua belas hari yang akan ditempuh menjelang pengundian guna sebaik-baiknya. Nilai semua yang bertanding.

Kita sudah belajar sesuatu dari empat tahun ini, untuk memandang kepada yang baik. Tepuk dada, tanya diri.


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo