NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN optimis rampas DUN Tioman dari BN


ROMPIN:
Perikatan Nasional (PN) optimis dapat merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang pengundiannya akan berlangsung pada 7 Dis ini.

Pesuruhjaya Pas Pahang Rosli Abdul Jabar berkata Nor Idayu Hashim, 35, Ketua Muslimat parti itu bagi Cawangan Pianggu, adalah calon yang sesuai memandangkan DUN Tioman mempunyai ramai pengundi wanita.

"Selain itu, gelombang pengundi pada PRU15 baru-baru ini yang menyaksikan pengundi beralih daripada BN kepada PN sehingga membolehkan kita merampas Parlimen Rompin dan DUN Bukit Ibam masih belum reda.

"Saya percaya ini juga akan diterjemahkan di DUN Tioman dengan gerak kerja jentera parti yang akan membantu sehabis baik untuk memenangkan calon kita," katanya kepada pemberita selepas hadir di Majlis Pengenalan Calon DUN Tioman di Kampung Sepakat di sini malam tadi.

Beliau berkata pemilihan Nor Idayu, yang berkelulusan Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Kelantan, juga bagi memastikan terdapat 'suara wanita' di DUN Pahang.

Jika menang, Nor Idayu akan menjadi calon tunggal wanita PN di DUN Pahang memandangkan kesemua 17 wakil rakyat gabungan itu yang menang pada PRU15 adalah lelaki.

PN Pahang turut meletakkan calon wanita pada PRU15 iaitu Ketua Muslimat Pas Pahang Salamiah Mohd Noor yang berjaya merampas kerusi Parlimen Temerloh daripada Pakatan Harapan (PH).

Walaupun PN Pahang berjaya memperoleh 17 kerusi DUN, lebih satu kerusi berbanding BN, Rosli berkata ia bukan alasan untuk mereka 'berasa selesa' atau mengambil ringan cabaran pihak lawan.

PRU15 bagi DUN Tioman ditangguhkan ekoran kematian calon PN iaitu Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Ia sepatutnya menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, penyandangnya daripada BN iaitu Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon disusuli pengundian awal pada 3 Dis manakala 7 Dis ditetapkan sebagai hari pengundian.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

-- BERNAMA







Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo