Perikatan Nasional (PN) berjanji akan menyediakan lebih RM10 bilion bagi pelbagai dana dan insentif jika gabungan itu menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dana dan insentif berkenaan adalah untuk pelbagai sektor membabitkan teknologi, pertanian, sekolah dan alam sekitar.
Ketika mengumumkan manifesto PN malam ini, pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin berkata dana khas sebanyak RM5 bilion akan diwujudkan untuk menggalakkan pelaburan dalam industri berteknologi tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Selain itu, gabungan itu juga akan menyediakan skim untuk menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana beralih kepada digital, di samping moratorium bagi mereka yang menghadapi masalah ekonomi.
PN juga menyasarkan untuk mewujudkan satu juta pekerjaan pada tahun-tahun mendatang.
Dalam jangka pendek, Muhyiddin berkata jika PN menang PRU kali ini, mesyuarat kabinet pertama akan tertumpu kepada menangani isu kos sara hidup.
Penjawat awam juga akan mendapat kenaikan RM100 sebulan dalam elaun kos sara hidup mereka.
Bagi rakyat secara keseluruhan, PN bercadang mewujudkan satu agensi untuk mengurus dan menyelaraskan subsidi dan bantuan.
PN juga berikrar untuk memperuntukkan RM1 bilion untuk "Dana Makanan" yang bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan dan menstabilkan harga makanan.
Sementara itu, Muhyiddin berkata pesawah akan mendapat bantuan RM1,200 setahun bagi bantuan benih, manakala pekebun kecil akan mendapat RM800 setahun bagi bantuan musim tengkujuh.
Bagi kumpulan Bumiputera pula, PN berjanji memperuntukkan RM1 bilion dalam tempoh lima tahun untuk dana usahawan tani bagi menggalakkan pengeluaran hasil pertanian.
Gabungan itu juga akan mempertingkatkan usaha pemerkasaan Bumiputera dengan menambah baik fungsi agensi seperti Permodalan Nasional Berhad dan Mara, selain memperkemas program pembangunan Bumiputera di semua kementerian dan agensi dengan sasaran mencapai 30 peratus ekuiti Bumiputera.
PN juga menjanjikan pelan pembangunan holistik untuk Orang Asli, meliputi peningkatan dalam infrastruktur asas, pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang ekonomi.
Mengenai pendidikan pula, Muhyiddin berkata kerajaan PN akan memperuntukkan RM2.5 bilion untuk penyelenggaraan sekolah di seluruh negara.
Dia juga berikrar penubuhan universiti awam baru di Sabah dan Sarawak yang menawarkan kursus strategik untuk menjamin pekerjaan kepada graduan.
PN adalah salah satu daripada tiga gabungan utama yang bersaing untuk menawan Putrajaya pada PRU15.
Tarikh PRU15 ditetapkan pada 19 Nov.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment