NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN dapat empat kerusi Parlimen jika umat Islam tolak DAP di Selangor


Parlimen di Selangor mempunyai 22 kerusi dengan kebanyakkannya adalah kerusi campuran walaupun didominasi orang Melayu. Namun, terdapat beberapa kerusi majoriti Melayu Islam melebihi 60 peratus yang ditandingi oleh calon-calon yang bukan Islam, khususnya DAP-PH termasuklah di empat kerusi.

Kerusi tersebut adalah di P.094 Hulu Selangor, P.097 Selayang, P.102 Bangi dan P.112 Kuala Langat yang ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH). Ketiga-tiga parti utama ini dijangka mengaut undi maksima walaupun terdapat beberapa parti kecil dan bebas lain turut bertanding di situ.

PN menurunkan calon Melayu di keempat-empat kerusi tersebut. BN pula menurunkan calon daripada MCA dan MIC sementara PH mempertaruhkan calon DAP dan PKR yang bukan Islam.

Di Hulu Selangor, PN menurunkan Hasnizan Harun, YDP Pas kawasan yang juga aktivis masyarakat tempatan untuk berentap dengan calon BN, iaitu Naib Presiden MIC Senator Datuk Mohan Thangarasu dan calon PH daripada PKR, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.

Naib Pengerusi PN Selangor yang juga Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Abdul Rashid Asari bertanding di Selayang menentang penyandangnya William Leong (PH-PKR) dan calon BN Chan Wun Hoong yang juga Ketua Pemuda MCA.

Seorang lagi Naib Pengerusi PN Selangor Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi merangkap Pesuruhjaya Pas Selangor bertanding di Kuala Langat. Beliau yang juga Adun Dun Sijangkang dalam parlimen tersebut akan ditentang oleh Mohana Muniandy Ketua Wanita MIC dan Manivanan Gowin (PH-Kapar).

Di Bangi, DAP menurunkan calon Melayunya Syahredzan Johan mengantikan penyandang Ong Kian Ming yang juga strategis parti tersebut. Syahredzan adalah Setiausaha Politik pemimpin veteran Lim Kit Siang serta wakil ahli Parlimen Bangi.

Beliau akan ditentang oleh tujuh pencabar lain termasuklah Datuk Hoh Hee Lee (BN-MCA) dan calon anak tempatan Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir (PN-Pas). Nazrul juga antara calon anak muda PN, berumur 27 tahun juga seorang peguam yang huffaz al-Quran.

Umat Islam yang menyedari penguasaan dan peranan DAP semasa pemerintahan kerajaan 22 bulan pasti menjauhkan diri daripada PH, lantas mengambil sikap mengundi PN dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15 ini.

Untuk rekod, ketika itu orang Melayu Islam sangat terkesan dengan suasana tidak kondusif dalam isu-isu Islam daripada tulisan jawi dalam dua halaman buku teks, di papan nama jalan hinggalah isu kalimah Allah dan pengislaman sepihak.

Kemenangan calon Melayu Islam bukan sahaja dapat menyekat agenda cauvinis DAP melalui PH, malah dapat memberi kuasa dan suara Islam dalam Parlimen demi memperjuangkan isu-isu masyarakat bagi menjamin perpaduan dan kesejahteraan dalam negara.

Penyokong Umno dan bebas di Selangor, atas nama perpaduan ummah serta semangat Muafakat Nasional seharusnya mengenepikan suara parti dan diri dalam perkara survival ini dengan turut memberikan sokongan bulat supaya calon-calon PN tersebut diangkat di parlimen.

PRU-15 akan diadakan pada 19 November 2022 sementara pengundian awal pada 15 November melibatkan 3,677,848 pemilih di Selangor, termasuklah 273,703 pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun.

Dr Nabila Din
(Media Fastaqim)



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo