NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PKR, BN diramal lebih dominan di Tambun - Penganalisis

Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi. - Astro AWANI

TAMBUN: Persaingan di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih tertumpu kepada Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun penyandangnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Penganalisis keselamatan dan politik, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, saingan sengit dijangka melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.
Bukan menidakkan pengaruh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu namun beliau berpendapat parti gergasi seperti UMNO dan PKR akan menjadi lebih dominan meskipun kerusi itu adalah milik Bersatu.

“PKR dan UMNO akan bersaing dengan sengit yang mana sudah tentu sentimen nama besar seperti Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
“Ia akan memberikan satu bentuk pengimejan yang baik kepada pilihan raya Tambun tapi kita tidak boleh ketepikan bahawa Datuk Aminuddin mempunyai kelebihan juga untuk memenangi kerusi ini,” katanya kepada Astro AWANI.

Pendapat sama turut disuarakan Penganalisis Politik, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi yang berpendapat Aminuddin diramal memberi lebih saingan kepada Anwar berbanding Ahmad Faizal.
“Walaupun undi BN dijangka kukuh pada PRU15 dan lebih 30,000 undi namun saya kira sudah pasti Anwar mempunyai strategi beliau tersendiri sebab kalau tidak, Anwar tidak akan membuat keputusan untuk bertanding di Parlimen Tambun.
“Ini merupakan satu usaha untuk menjadikan sentimen bakal calon Perdana Menteri perlu menang di Parlimen tersebut untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.

“Imej inilah, kempen beginilah dijangka digunakan untuk Anwar untuk memenangi pilihan raya ini,” ujarnya.
Tambah beliau, sentimen bakal Perdana Menteri dijangka mampu menarik perhatian pengundi apatah lagi sehingga kini masih belum ada wakil rakyat dari kerusi di Perak memegang jawatan tersebut.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.

Sumber I Astro Awani 


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo