Kerajaan negeri juga akan membentangkan Belanjawan Negeri 2023 dalam DUN Sarawak yang bersidang mulai 21 hingga 30 Nov ini. |
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membentangkan cadangan meminda perlembagaan negeri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung bulan ini, kata Premiernya, Abang Johari Openg.
Beliau berkata, hal itu bagi menyelaraskan perlembagaan negeri dengan peruntukan larangan bertukar parti dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipinda baru-baru ini.
Katanya, cadangan pindaan itu bagi memperhalusi peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Sarawak, terutamanya melibatkan wakil rakyat yang menang atas tiket bebas atau mereka yang keluar parti dan mahu bertukar ke parti lain.
“Hujung bulan ini DUN bersidang dan kita akan pinda Perlembagaan Sarawak dan perbaiki undang-undang anti-lompat parti,” katanya pada pelancaran Program Sarawakku Sayang di Engkilili, kira-kira 203km dari sini.
Katanya, kerajaan negeri juga akan membentangkan Belanjawan Negeri 2023 dalam persidangan itu yang bakal berlangsung pada 21 hingga 30 Nov ini.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, rakyat Sarawak perlu berhati-hati memilih wakil rakyat pada pilihan raya umum ke-15 dan memberi sokongan kepada calon yang berpolitik demi memperjuangkan hak rakyat, bukannya atas kepentingan peribadi.
Beliau turut menasihati rakyat tidak termakan pembohongan parti politik yang kononnya berjanji akan mempertahankan hak Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963.
Sumber I FMT Malaysia
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment