NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH bakal kerjasama dengan BN hadapi PRN Selangor - Amirudin


Amirudin Shari berkata, walaupun Selangor cukup stabil, tetapi Pakatan Harapan tidak besar kepala atau bersikap tamak haloba.

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) sedia membentuk kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) di Selangor bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari menyuarakan kesediaan itu selepas mengambil kira kerjasama PH dan BN dalam membentuk kerajaan perpaduan di Putrajaya sehingga membolehkan Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri ke-10.

“Kalau ada persefahaman (dengan BN), sudah pasti sebab kita ingin meneruskan apa berlaku di pusat, pasti formula pusat itu ada nilai kestabilan, walaupun Selangor sudah cukup stabil, tetapi kita tidaklah besar kepala atau bersikap tamak haloba.

“Kalau ada ruang perbincangan, kita bincang. Maknanya, saya sebagai pengerusi PH Selangor berharap kita dapat mengekalkan Selangor,” katanya selepas menghadiri Majlis Pra Pelancaran Aplikasi Halal Sel di Bangunan Annex, Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, menteri besar Selangor itu berkata, PH negeri juga sedia bergerak solo, jika kerjasama dengan BN pada PRN akan datang gagal direalisasikan.

“Kalau terpaksa bersendirian, kita sendirianlah. Kalau dapat gabungan dari rakan lain, mungkin boleh membantu kita di beberapa kerusi lagi. Kita terbuka untuk perbincangan kerjasama bagi PRN akan datang.”

Ketua pembangkang Selangor

Amirudin menyuarakan kesediaan untuk menukar ketua pembangkang Selangor, jika ada permintaan, tetapi katanya, penukaran itu tidak signifikan memandangkan penggal DUN Selangor sedia ada berbaki enam bulan lagi.

“Daripada habiskan masa susun kerusi dalam dewan, lebih baik kita aturkan perbincangan bagaimana nak berdepan kerusi-kerusi dalam pilihan raya. Perbincangan kerusi lebih baik daripada ubah kerusi dalam dewan.

“Dalam tempoh enam, tujuh bulan ini, fokus kepada PRN harus diberi tumpuan dan penting formula satu lawan satu antara gabungan besar dengan gabungan lain.”

Penggal DUN Selangor semasa akan berakhir 26 Jun 2023 dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo