PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) kini mendahului Barisan Nasional (BN) dalam kaji selidik mengenai keutamaan pengundi dalam kalangan pelbagai gabungan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Tinjauan dilakukan Merdeka Center itu berlangsung dari 19 Okt hingga 28 Okt lalu dan melibatkan 1,209 pengundi di semua kumpulan etnik.
Kajian mendapati 26% responden menyokong PH, dengan BN ketinggalan hanya 2%, bagaimanapun Perikatan Nasional jauh ketinggalan, dengan hanya 13% responden menyokong gabungan itu.
Gerakan Tanah Air (GTA) dan lain-lain gabungan hanya mendapat sokongan 2% responden.
Bagaimanapun, majoriti responden (31%) mengatakan mereka tidak mempunyai keutamaan atau tidak pasti.
BN yang dipimpin Umno dilihat mempunyai kelebihan dalam kalangan responden Melayu, dengan 32% sokongan manakala PN dan PH masing-masing mendapat 20% dan 13% sokongan.
Pusat penyelidikan itu berkata “keutamaan menurun dengan ketara” dan 29% responden Melayu berkata mereka tidak mempunyai keutamaan atau tidak pasti gabungan mana hendak diundi.
“Kemungkinan sebahagian daripada pengundi yang belum membuat keputusan ini masih memihak parti pemerintah, bagaimanapun pengalaman sebelum ini mendapati majoriti daripada mereka berkemungkinan memilih pembangkang, iaitu PN atau PH,” katanya.
Dengan pertembungan tiga gabungan parti politik terbesar pada PRU15, Merdeka Center berkata sukar untuk mereka meramalkan keputusan pilihan raya.
Pusat kajian itu turut menjangkakan mungkin tidak ada satu gabungan pun yang dapat membentuk kerajaan.
“Sebaliknya, besar kemungkinan sekurang-kurangnya tiga atau lebih parti atau gabungan diperlukan untuk bekerjasama membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.”
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment