NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perpecahan pengundi Melayu kebimbangan terbesar saya, kata Annuar

Annuar Musa berkata jika trend itu berterusan ia mendatangkan bahaya bagi Barisan Nasional.

TAMBUN: Bekas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa berkata perpecahan dalam kalangan pengundi Melayu adalah “kebimbangan terbesar” beliau pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Sekiranya trend itu berterusan, ia sudah pasti sangat bahaya dan dibimbangi Barisan Nasional (BN).

“Kegagalan kita untuk menyatukan pelbagai kaum di Malaysia terutama Melayu, sudah pasti akan melemahkan kita,” katanya dalam sidang media.

Menjawab soalan adakah kekurangan dana untuk calon BN berkempen di Tambun bermakna Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi memberi laluan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim untuk menang, Annuar berkata itu hanya satu persepsi.

“Saya tidak rasa masalah (kekurangan dana) ini hanya di Tambun. Perihal masalah dana ini adalah disebabkan Umno bukan lagi parti yang kaya seperti sebelum ini. Saya faham sekiranya ada calon BN yang merasakan perkara berkenaan yang berhadapan dengan masalah kekurangan dana.

“Tetapi ia bukanlah alasan Zahid sebagai mahu BN kalah di Tambun atau beri laluan mudah kepada Anwar. Ia tuduhan yang tidak berasas,” kata Annuar.

Tambah bekas setiausaha agung BN itu lagi, ketiadaan nama-nama besar BN dalam membantu kempen di Tambun adalah kerana setiap calon itu juga berdepan saingan sengit di kerusi Parlimen masing-masing.

Mengulas mengenai kenyataan terbaru Khairy Jamaluddin bahawa Umno perlu “nafas baru”, Annuar berkata, kenyataan calon Parlimen Sungai Buloh itu terpakai untuk semua parti.

“Saya rasa sudah sampai masa untuk Anwar juga menyerahkan kepimpinan PKR kepada Rafizi. Lebih penting Bersatu diberi nafas baru bukan Umno,” katanya.

Katanya, Umno sentiasa memberi peluang kepada golongan muda seperti beliau yang memenangi kerusi DUN Peringat di Kelantan ketika berusia 30 tahun.

“Umno mempunyai beberapa peratus pemimpin kanan, parti itu juga meletakkan 80% muka baharu berbanding parti politik lain, menjadikan Umno dengan calon pemimpin muda paling ramai pada PRU15. Itu pun sudah peremajaan,” katanya.

Mengulas mengenai sentimen di lapangan, Annuar berkata berdasarkan pemerhatiannya “mood” menjelang pilihan raya Sabtu ini kurang meriah berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Ini mungkin berpunca daripada pengaruh media sosial hari ini. Poster boleh dihantar melalui telefon bimbit, ia mungkin menyebabkan kepentingan mencetak poster dan bendera semakin berkurangan,” katanya.

Menurutnya, persaingan kini dilihat hanya memfokuskan pertembungan BN, PH dan Perikatan Nasional (PN).

“Saya lihat (sokongan kepada) PH lebih tertumpu di kawasan bandar dan sebahagian pinggir bandar. BN kekal kuat di kawasan luar bandar dan pinggir bandar manakala PN berusaha untuk mendapatkan sokongan.

“Ini adalah pemerhatian saya, tetapi bagi BN, kita tidak seharusnya rasa selesa,” katanya.


Sumber I FMT Malaysia 





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo