Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, pada Mac lalu, kerajaan negeri telah menghantar surat peringatan kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) bagi membolehkan kerajaan negeri membuat keputusan mengenai perlaksanaan projek berkenaan.
Katanya, disebabkan kelewatan tersebut, ia menyebabkan kajian kebolehlaksanaan bagi projek tersebut mengambil masa yang lama untuk disiapkan.
"Tempoh kajian mengambil masa yang lama adalah kerana ia melibatkan beberapa agensi swasta dan Persekutuan.
"Kita juga menunggu ulasan bertulis daripada dua agensi penting bagi membolehkan kerajaan negeri membuat keputusan mengenai perlaksanaan projek berkenaan," katanya ketika menjawab soalan bertulis Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) pada Sidang DUN di sini berhubung draf laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.
Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata, kerajaan negeri dijangka mengadakan mesyuarat bersama Penang Port Comission pada awal Disember ini bagi membolehkan keputusan diambil.
"Mesyuarat tersebut dijangka merupakan mesyuarat terakhir. Kita berharap ia akan diadakan dalam tahun ini juga," katanya.
Kata beliau, hasil laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut telah dibentangkan kepada kerajaan negeri pada April lalu.
"Secara dasarnya, hasil kajian yang menyatakan bahawa terowong dasar laut boleh dilaksanakan adalah diterima oleh kerajaan negeri.
"Bagaimanapun, laporan akhir kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut hanya akan diterima siap setelah ulasan muktamad berkenaan pelan induk pembesaran Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) oleh SPPP dapat diperoleh secara rasmi. Buat masa ini, pihak SPPP masih belum memuktamadkan pelan induk pembesaran NBCT," katanya.
Kata Zairil, peralihan projek terowong dasar laut ke fasa reka bentuk tertakluk kepada pengintegrasian reka bentuk jajaran terowong bersama pelan induk pembesaran NBCT yang masih belum dimuktamadkan oleh SPPP.
"Jangka masa pelaksanaan projek terowong dasar laut adalah tertakluk kepada perkara ini. Tiada bayaran dilaksanakan bagi projek terowong dasar laut memandangkan laporan kajian kebolehlaksanaan masih belum dimuktamadkan dan diterima oleh kerajaan negeri.
"Setakat ini, kerajaan negeri hanya melaksanakan bayaran dalam bentuk secara tukar ganti tanah (in-kind) dengan nilai RM208.8 juta bagi pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi projek jalan-jalan utama sahaja," katanya.
Pada Mac lalu, Kerajaan Pulau Pinang sudah menghantar surat peringatan kepada SPPP dan PPSB untuk menyerahkan ulasan bertulis berhubung kajian kebolehlaksanaan bagi projek terowong dasar laut berikutan, kedua-dua agensi itu tidak menyokong projek tersebut.
Sebelum ini, SPPP mengesahkan akan menghantar ulasan bertulis tersebut dalam masa terdekat yang mana, pengerusinya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, pihaknya bersama PPSB sedang melengkapkannya sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri.
Projek terowong dasar sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan salah satu projek yang terkandung dalam Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai keseluruhan RM46 bilion.
Sumber I Sinar Harian
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment