RATA-rata sahabat dan petugas-petugas PAS dan PN yang saya temui pasca PRU15 tidak sedikit pun kelihatan lemah semangat dengan keputusan yang dipertuan Agong semalam. Bahkan mereka semakin bersemangat. Alhamdulillah.
Saya buat perumpamaan kepada mereka mengapa PAS lambat menang. Katakan kita ada 3 orang kawan, masing-masing berhasrat ke Utara dengan menaiki kereta api. Orang pertama mahu ke Ipoh, yang kedua mahu ke Sungai Petani, orang ketiga mahu ke Alor Setar. Manakala kita mahu ke Padang Besar. Masing-masing membeli tiket ke destinasi masing-masing.
Bila sampai di Stesen Ipoh, sahabat Ipoh pun turun. Begitulah seterusnya dengan sahabat Sungai Petani dan Alor Setar. Kita yang paling akhir. Jangan mengeluh dan bersedih jika sahabat-sahabat kita sampai dulu. Kerana sememangnya destinasi mereka itu dekat dan mudah. Jangan merungut jika sahabat-sahabat tadi telah lama sampai ke rumah dan gembira bertemu ahli keluarga mereka, sedangkan kita masih dalam perjalanan. Kenapa kita lambat sampai? Kerana memang stesen kita jauh. Kita pun sememangnya membeli tiket yang jauh.
Begitulah perjuangan ini. Siapa yang bercita-cita mengambil perjuangan yang cepat dan mudah maka mereka akan cepat memperolehinya. Allah berikan apa yang mereka mahu. Tetapi siapa yang bercita-cita mencari kemenangan yang hakiki berserta redha Allah, memang perjalanannya jauh. Namun pasti akan sampai juga nanti asalkan jangan terjun di pertengahan perjalanan. Siapa yang mahu ke Ipoh dia akan sampai di Ipoh. Namun dia tidak akan dapat melihat Sungai Petani. Begitu juga orang yang mahu ke Sungai Petani tidak akan sampai ke Alor Setar. Namun siapa yang mahu ke Padang Besar dia akan sampai ke semua destinasi teman-temannya dan destinasinya sendiri.
Lalu jangan mengeluh jika melihat ada orang sudah sampai ke Putrajaya. Sudah dapat apa yang mereka cita-citakan iaitu kemenangan dan jawatan. Jangan pelik, kerana Putrajaya dan jawatan itu adalah destinasi yang dekat dan singkat. Tetapi jika cintakan redha Allah, maka bersedialah untuk perjalanan jauh yang memenatkan. Orang yang mencari kemenangan, ia akan memperolehi kemenangan. Namun siapa yang mencari redha Allah ia akan mendapat kemenangan dan redha Allah.
USTAZ MOKHTAR SENIKAhli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
Komen: Tulisan ini telah diedit sedikit pada perenggan pertama
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment