Peratusan keluar mengundi berkemungkinan tinggi untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15 pada 19 Nov ini, walaupun terdapat pandangan berhubung kelesuan pengundi negara ini.
Tinjauan bertajuk "Mood of the Nation", yang dikendalikan bersama oleh badan pemikir Institut Darul Ehsan (IDE), Universiti Toyo Jepun, dan Institut Kajian Pilihan Raya dan Kemajuan Demokrasi (Iesad) Universiti Selangor.
Pengarah Eksekutif IDE Mohammad Redzuan Othman berkata data tinjauan mereka menunjukkan 79 peratus responden berkata mereka akan mengundi pada PRU ke-15, dengan hanya 4.6 peratus tidak akan turun mengundi, manakala 16.4 peratus masih tidak pasti.
“Dalam tinjauan ini, antara perkara pertama yang kami tanya ialah sama ada mereka akan keluar mengundi.
“Jelas sekali, rakyat berkata mereka akan mengundi. Nampaknya pandangan bahawa rakyat tidak berminat atau bosan dengan politik tidak ada asas, berdasarkan tinjauan kami,” kata Redzuan dalam sidang media di ibu pejabat IDE di Shah Alam, Selangor hari ini.
Tinjauan itu dilakukan dua minggu sebelum bermulanya tempoh berkempen PRU15 iaitu dari 21 Okt hingga 4 Nov.
Pengarah eksekutif IDE Mohammad Redzuan Othman
Ia melibatkan 2,423 responden di semua 165 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia yang mewakili demografi penduduk dari segi jantina, umur, bangsa dan kecenderungan politik.
Garis masa tinjauan menunjukkan rakyat telah bersedia untuk mengundi dalam pilihan raya walaupun sebelum kempen bermula.
Redzuan berkata secara tradisinya peratusan keluar mengundi yang tinggi semasa PRU, walaupun peratusan itu rendah pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.
Selain itu, tinjauan itu juga melihat isu yang lebih dibimbangkan oleh pengundi, serta faktor yang mempengaruhi siapa yang mereka paling cenderung untuk beri undi.
Tiga isu utama yang dibimbangkan pengundi secara konsisten merentasi beberapa kumpulan umur ialah kenaikan harga barang, ketidakstabilan politik dan rasuah.
Kenaikan harga barangan mengatasi isu-isu lain dengan jurang yang luas, kata Redzuan, dengan 43.36 peratus responden bimbang tentang isu itu, diikuti ketidakstabilan politik pada 18.7 peratus dan rasuah pada 10.75 peratus.
Pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun turut menunjukkan kebimbangan terhadap keadaan demokrasi dan pembaharuan, sementara pengundi berumur antara 21 hingga 40 tahun juga bimbang tentang peluang pekerjaan.
Anwar calon pilihan untuk PM
Sementara itu, faktor utama yang dianggap pengundi akan mempengaruhi undi mereka ialah manifesto pilihan raya parti masing-masing, diikuti oleh keadaan ekonomi dan kemudian, calon sendiri.
Tinjauan itu juga menguji tahap sokongan untuk pemimpin politik dan parti tertentu untuk memenangi PRU15, walaupun Redzuan menegaskan bahawa kajian ini telah dijalankan sebelum tempoh berkempen dan dengan itu, justeru kemungkinan berubah.
Data tinjauan mereka menunjukkan bahawa 31.5 peratus responden menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas PRU ke-15.
Perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mendapat 24.9 peratus sokongan responden dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin pada 20.3 peratus.
Kira-kira 30.7 peratus responden juga berkata mereka akan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRU15, diikuti rapat BN pada 27.9 peratus, dan akhirnya PN dengan 12.7 peratus.
Baki 28.7 peratus berkata mereka masih belum membuat keputusan.
IDE ialah badan pemikir yang dibiayai kerajaan Selangor yang ditubuhkan pada 2015.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment