NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penyokong BN Bandar Tun Razak mahu calon Umno, bukan MCA


Di Bandar Tun Razak yang terletak di tengah hiruk-pikuk pencakar langit, lebuh raya dan pusat-pusat komersial itu, dua kampung Melayu menjadi satu-satunya kawasan perkampungan dalam Parlimen itu.

Di Kampung Malaysia Tambahan dan Kampung Malaysia Raya, penduduk sedang menunggu siapa yang akan mewakili mereka di Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang pada 19 November ini.

Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon dari MCA – Chew Yeen Kein – di mana ia pernah menjadi amalan tradisi gabungan di kerusi tersebut sebelum mengambil keputusan memilih calon Umno pada pilihan raya umum lalu.

Pada PRU14, Ketua Umno Bandar Tun Razak Razak Rizalman Mokhtar sepatutnya bertanding di kerusi tersebut, namun BN menukar calonnya kepada Adnan Seman berikutan kontroversi membabitkan beliau di kelab malam.

Seorang penduduk, Razali Ismail berkata, dia mahu mengundi Barisan Nasional (BN) kali ini setelah memilih pembangkang pada PRU14.

"Tetapi kalau calon BN dari MCA, saya berbelah-bahagi kerana saya jangka calon dari Umno.

"Majoriti di sini kami tak sokong calon MCA," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurutnya, MCA tidak begitu popular di dua kampung Melayu tersebut.

Kawasan Parlimen Bandar Tun Razak bersaiz 25km persegi dengan jumlah penduduk seramai 191,318 orang. 

Daripada jumlah itu, Bumiputera membentuk 69.4% penduduk, Cina (23.2%) dan India (6.7%). 

Menurut Razali, MCA mempunyai keberadaan yang kuat di kawasan itu sebelum PKR mula memenangi kerusi Bandar Tun Razak.

Kerusi itu ditandingi Chandra Muzaffar pada 1999 menentang Tan Chai Ho. 

Tan menang pada tahun itu dan mengekalkan kerusinya pada PRU 2004. 

Tan tewas pada Abdul Khalid Ibrahim pada 2008. 

Khalid kekal pada penggal seterusnya. 

Penyandang kerusi, Kamarudin Jaffar yang bertanding atas tiket PKR pada PRU14 menang bergaya dengan majoriti 19,930.

Dinamik itu mungkin berubah susulan perkembangan politik terbaru. 

Kamarudin yang kini wakil rakyat Bersatu, akan menerima tentangan daripada bekas timbalan perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengerusi penduduk Kampung Malaysia Raya, Zainudin Amran berkata, dia semenangnya teruja dengan pencalonan untuk kerusi parlimen itu.

"Memang tidak dapat dinafikan sentimen (calon Melayu). Dari konteks Pakatan Harapan pula, terlalu banyak diperkatakan mengenai calon luar walaupun beliau (Wan Azizah) tinggal di Kuala Lumpur.

"Sejak daripada Chandra, ke Abdul Khalid dan kini Wan Azizah, semuanya orang luar. Cuma kali ini namanya agak besar, jadi isu itu mungkin tidak berbangkit," katanya.

Antara isu yang mendepani penduduk itu termasuklah jalan raya sesak yang terhasil akibat pembangunan pesat di kawasan itu selain habuk dan bunyi bising daripada pembangunan sekeliling. 

Selain itu, kehadiran orang luar yang menyewa rumah di kampung itu turut menjadi isu. 

Kampung itu peka dengan permasalahan akar umbi parti-parti politik di kawasan. 

Roslan Abd Rahman yang juga bekas aktivis PKR di kampung itu berkata, setakat ini Bersatu Bandar Tun Razak masih tidak menerima Kamarudin. 

"Wan Azizah mungkin menang pada kali ini, namun sejauh mana besar majoriti bergantung kepada calon Umno atau MCA.

"Jika calon Umno, Wan Azizah akan berdepan saingan sukar tetapi jika MCA, majoriti beliau akan jadi lebih besar," katanya. 

Berdasarkan pemerhatiannya, Roslan berkata cabaran Wan Azizah ialah menggerakkan jentera tempatan dalam membantu kempen di Bandar Tun Razak. 

Ini kerana, orang-orang bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang menjaga bahagian itu sudah dibuang atau digantung. 

Manakala seorang anak muda di kampung itu, Mohd Fadhil berkata, walaupun nama Wan Azizah lebih besar, tetapi padanya dia mahu orang yang lebih mudah didekati.

"Dia (Wan Azizah) mesti sibuk punya jika PH menang Putrajaya. 

“Dengan Rizalman, kami boleh berhubung dengan dia," katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo