NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengundi digalak keluar undi ikut masa cadangan SPR


KUALA LUMPUR:
Menjelang hari mengundi bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) esok, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti tercatat dalam aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 20,853,681 pengundi bakal mengundi pada PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Beliau berkata, SPR berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi esok.

Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab tertentu, katanya, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 8 pagi hingga 6 petang di Semenanjung, manakala 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak atau waktu yang diwartakan.

“Pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya dalam kenyataan.

Pengundi dinasihatkan membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Ikmalrudin berkata, SPR juga menyarankan semua pengundi memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi esok.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan boleh dikenakan tindakan.”

Katanya, SPR menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan pengundian yang akan dijalankan esok dan semua peralatan itu diagihkan kepada ketua tempat mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi.

Beliau berkata, semakan itu bagi memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian lengkap dan berkeadaan baik.

PRU15 akan diadakan di 8,958 pusat mengundi membabitkan 38,348 saluran dengan 363,515 orang ditugaskan bagi proses pengundian.

Ikmalrudin berkata, SPR juga mengingatkan majikan membenarkan pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRU15 dan PRK DUN Bugaya seperti diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata, SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat 11.59 minit malam ini, justeru sebarang bentuk aktiviti berkempen, termasuk aktiviti merayu undi perlu dihentikan.

“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi, termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“SPR juga mengingatkan semua parti atau calon bertanding dilarang membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana ia kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.”

Bagi pengundi yang positif Covid-19, SPR sekali lagi menyarankan pengundi berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan urusan pengundian.

Beliau berkata, SPR telah memaklumkan semua pengundi, penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi tidak dibenarkan dan notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan dalam tempat mengundi sebagai peringatan.

Katanya, SPR turut menetapkan pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula selepas mengundi.

Menurutnya, pelaksanaan tatacara pengundian baharu itu boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya.

Ikmalrudin mengingatkan semua pihak, khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang “tagline” atau slogan kempen menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi atau melanggar peruntukan ditetapkan boleh dihalang memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan boleh dikenakan tindakan.”




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo