IPOH: "Kami harap Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat tunaikan janji untuk memartabatkan Tambun dan Malaysia di mata dunia".
Demikian reaksi beberapa penduduk yang ditemui di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Jelapang Baru, Taman Desa Tambun dan Bandar Baru Putra.
Ismail Ahmad, 59, dari RPT Jelapang Baru, yang juga peniaga kecil-kecilan sekitar Tambun itu berharap Perdana Menteri Ke-10 itu dapat memenuhi segala apa yang sudah dijanjikan ketika bertanding bagi kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
"Dari sudut pembangunan di Tambun, beliau berjanji akan cuba mengeratkan kembali perpaduan secara menyeluruh dan akan menyalurkan bantuan tanpa mengira bangsa.
"Perak agak ketinggalan dari Pulau Pinang dan Selangor, harap beliau akan dapat memartabatkan Tambun dan Perak seiring atau lebih baik lagi selepas ini," katanya.
Katanya, sebagai rakyat, dia juga berharap Anwar dapat benar-benar menjalankan tanggungjawabnya seperti yang diamanahkan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.
"Kita beri peluang kepada beliau, apa yang paling penting, beliau dapat menyelesaikan masalah rakyat terutama dari segi harga barangan keperluan seperti dijanjikan.
"Saya juga berharap beliau dapat menerajui Malaysia dan membawa balik nama negara dikenali di seluruh dunia," katanya.
Penduduk dari Taman Desa Tambun, Maisarah Md Tahir Nasution, 61, turut meluahkan perkara sama agar pemimpin itu mampu mengubah wajah Tambun.
"Kita sudah melihat beberapa kepemimpinan sebelum ini, jadi kita berharap kepemimpinan baharu ini dapat membangunkan infrastruktur, kemudahan peniaga dan menceriakan lagi Pekan Tambun.
"Jadi, apabila dah dapat jadi Perdana Menteri, walaupun (Anwar) datang merantau, kita nak tuntutlah juga janji untuk membangunkan lagi kawasan Tambun," katanya.
Seorang lagi penduduk dari Bandar Baru Putra turut mengucapkan tahniah kepada Anwar yang dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-10 dan yakin keupayaan pemimpin itu menerajui negara.
"Saya harap Anwar dapat mengutamakan isu harga barangan keperluan asas dan kos sara hidup rakyat," katanya.
Pada PRU-15, Anwar menang kerusi Parlimen Tambun selepas memperoleh majoriti 3,736.
Mendahului tiga parti lain, Pengerusi PH itu mendapat 49,625 undi, sekali gus memintas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN) dengan 45,889 undi.
Sementara Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN) mendapat 28,140 undi dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang), 1,115 undi.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment