NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penambahan calon Melayu demi kelangsungan DAP, kata penganalisis


PETALING JAYA:
Keputusan DAP bagi mencalonkan lebih ramai calon Melayu pada pilihan raya umum (PRU) kali ini dilihat satu keperluan bagi menjamin kelangsungan parti.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania, berkata DAP menyedari populasi masyarakat Cina di Malaysia yang menurun saban tahun, lalu memaksa mereka untuk merekrut lebih ramai akar umbi bukan Cina termasuk meletakkan lebih ramai calon Melayu pada PRU.

“DAP tidak boleh menarik sokongan di kawasan pengundi Melayu tanpa memiliki wakil rakyat berbangsa Melayu,” kata kepada FMT mengulas faktor di sebalik peningkatan calon Melayu DAP pada PRU kali ini.

Chin berkata, langkah itu juga adalah bagi membuktikan bahawa DAP adalah sebuah parti berbilang kaum yang sebenar.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berpendapat, strategi DAP mencalonkan lebih ramai Melayu hanya mampu menarik sokongan sebahagian kelompok Melayu yang sudah ‘lebih terbuka’ berbanding majoriti pengundi Melayu yang dilihat tidak oleh menerima ideologi DAP yang dianggap liberal dan progresif.

Oh berkata, walaupun ideologi DAP ini didukung oleh pemimpin Melayu DAP, namun pengundi Melayu tetap sukar untuk menerima DAP disebabkan sejarah parti itu yang selama ini memperjuangkan kepelbagaian kaum dan sistem meritokrasi.

“Konsep perjuangan dan ideologi DAP ini dilihat sebagai bertentangan dengan naratif ketuanan Melayu oleh kebanyakan pengundi Melayu konservatif.

“Lihat sahaja pada PKR yang mengamalkan politik berbilang etnik dan budaya namun masih lagi dipandang rendah oleh orang Melayu sendiri,” kata Oh.

Pada PRU15, DAP meletakkan 11 orang calon Melayu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen berbanding hanya seorang calon Melayu di kerusi Parlimen dan enam di kerusi DUN pada PRU lepas.

Pada PRN Johor awal tahun ini juga, DAP meletakkan dua calon Melayu berbanding hanya seorang pada PRU lalu.

Walaubagaimanapun, kedua-dua penganalisis bersetuju bahawa strategi DAP mencalonkan lebih ramai pemimpin Melayu pada PRU kali ini dilihat tidak menjejaskan sokongan pengundi teras mereka dalam kalangan masyarakat Cina di negara ini.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo