NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemandu lori kontena maut tercampak kemalangan enam kenderaan

SEREMBAN: Seorang pemandu lori kontena tercampak sebelum maut dalam kemalangan melibatkan enam buah kenderaan di Kilometer 280 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), arah Selatan dari Nilai menghala ke Seremban di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan pada pukul 11.35 pagi itu melibatkan enam buah kenderaan iaitu masing-masing sebuah lori kontena jenis Nissan, lori jenis Mercedes Benz, kereta Mitsubishi Outlander, Mercedes Benz, Toyota Alphard dan motosikal Honda Dash.

Katanya, akibat kemalangan tersebut pemandu lori kontena, Muhammad Iqbal Kamarulzaman berusia 42 tahun dari Klang, Selangor yang mengalami kecederaan di bahagian badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila lori kontena yang dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Nilai dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Lori kontena melanggar empat buah kereta dan sebuah motosikal yang sedang bergerak terus di laluan bertentangan dari arah (Nilai ke Seremban),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Malik berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu lori kontena tercampak sebelum disahkan meninggal dunia manakala lima lagi mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk rawatan.

“Mangsa yang cedera termasuk pemandu dan tiga penumpang kereta Mitsubishi Outlander yang cedera di muka, tangan kiri serta bahu serta luka-luka di kaki. Selain itu, pemandu sebuah lagi lori cedera dengan luka ringan di kepala serta penunggang motosikal mengalami patah tangan,” katanya.

Katanya, pemandu kereta Mercedes Benz dan Toyota Alphard selamat dan tidak mengalami kecederaan dan siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, kemalangan turut menyebabkan kesesakan sejauh hampir lima kilometer dan kerja-kerja mengalihkan kenderaan masih dijalankan. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo