PORTUGAL hadir ke Piala Dunia Qatar 2022 dengan skuad dipenuhi pemain berbakat namun ramai menganggap ia pentas terakhir Cristiano Ronaldo dan buruan terakhirnya terhadap piala keagungan dunia bola sepak itu.
Bintang berusia 37 tahun itu sudah memenangi segala-galanya dalam karier setakat ini kecuali kejohanan itu, dan pemain yang disenaraikan bersamanya kali ini dilabel sebagai kelompok paling berbakat pernah disenaraikan sejak penamat tangga keempat pada Piala Dunia 2006.
Namun sejak itu, Portugal gagal bertindak cemerlang pada Piala Dunia apabila mereka sering kali tidak berjaya melepasi pusingan 16 terbaik.
Malah Portugal juga hampir terlepas tiket ke Qatar 2022 sesudah tewas di tangan Serbia pada aksi terakhir pusingan kelayakan menerusi gol pada minit ke-90, yang menyaksikannya berakhir di tangga kedua dan terpaksa beraksi di pusingan play-off.
Bagaimanapun Portugal berjaya juga akhirnya menangani tekanan menerusi kemenangan ke atas Turkiye dan Macedonia Utara sekali gus layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali kelapan.
Mereka juga gagal bertindak cemerlang pada Euro 2020, yang mana mereka hanya menang sekali ke atas Hungary dalam kumpulan maut dan tersingkir di tangan Belgium pada pusingan 16 terbaik sekalipun muncul juara pada 2016.
Walaupun penyerang Liverpool, Diogo Jota diketepikan kerana kecederaan menjelang Piala Dunia, bahagian serangan Portugal dipenuhi dengan banyak pilihan yang termasuk Ronaldo, Bruno Fernandes (Manchester United), Joao Felix (Atletico Madrid) dan Bernardo Silva (Manchester City).
Di benteng pertahanan, ia dipenuhi dengan bintang Manchester City dan Paris Saint-Germain seperti Ruben Dias, Nuno Mendes dan Joao Cancelo.
Namun pemain bintang Portugal masih perlu membuktikan mereka mampu serasi dan bertindak cemerlang bersama pasukan kebangsaan.
Mereka hadir di Qatar dengan hanya menang satu daripada lima perlawanan terakhir menentang lawan yang akan beraksi pada Piala Dunia.
Ronaldo, yang mengharungi masa depan tidak menentu di Manchester United susulan keceluparannya baru-baru ini, mungkin perlu melupakan masalah itu sebaliknya memberikan yang terbaik bersama skuad kendalian Fernando Santos jika tidak mahu impiannya hanya sekadar impian.
PROFIL PORTUGAL
Persatuan: Persekutuan Bolasepak Portugal (FPF)
Konfederasi: UEFA (Eropah)
Ketua jurulatih: Fernando Santos (Portugal)
Kapten: Cristiano Ronaldo
Nama gelaran: A Selecao, Os Navegadores
Kod FIFA: POR
Ranking FIFA: 9
Penyertaan Piala Dunia: 8 (kali pertama 1966)
Pencapaian terbaik: Tempat ketiga (1966)
Pencapaian lain: Juara Kejohanan Eropah 2016, Juara Liga Negara Eropah 2019
Jadual perlawanan:
25 November - Portugal mln Ghana - 12 mlm - Stadium 974
29 November - Portugal mln Uruguay - 3 pagi - Stadium Lusail
2 Disember - Korea Selatan mln Portugal - 11 mlm - Stadium Education City
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment