NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pasaran saham tak menentu menjelang pembentukan kerajaan baharu


KUALA LUMPUR:
Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah kerana sentimen pasaran yang lemah terus mempengaruhi selera risiko pelabur.

Pada waktu rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 11.41 mata kepada 1,436.55 daripada 1,447.96 pada Isnin.

Pada sesi pembukaan pagi ini, indeks utama rendah 1.24 mata pada 1,446.72.

Kerugian dalam Maxis, Public Bank, DiGi dan Petronas Dagangan mengheret turun indeks komposit dengan gabungan 6.562 mata.

Indeks barometer memulakan sesi pagi lebih tinggi, didorong aktiviti memburu saham murah tetapi menyusut kemudiannya apabila sentimen berhati-hati menyerap masuk menjelang pembentukan kerajaan baharu.

Semua pemimpin parti dan pemimpin blok politik yang memenangi kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah diminta untuk memaklumkan kepada istana mengenai gabungan baharu yang telah mereka persetujui untuk membentuk kerajaan baharu, serta nama calon Perdana Menteri masing-masing pada pukul 2 petang hari ini.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 456 berbalas 264, manakala 346 kaunter tidak berubah, 1,232 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 2.56 bilion unit bernilai RM1.04 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya pula berkata, sentimen global terjejas oleh kebimbangan mengenai kelembapan pertumbuhan global selepas China mengenakan sekatan COVID-19 yang lebih ketat.

Dari segi komoditi, harga minyak mentah Brent kekal melebihi US$87 setong selepas melantun semula daripada paras rendah sekitar AS$82, manakala harga minyak sawit mentah berlegar hampir RM3,850 satu tan.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Public Bank susut enam sen kepada RM4.27, IHH Healthcare turun satu sen menjadi RM5.95, Tenaga lemah tujuh sen kepada RM8.34 manakala Hong Leong Bank menyusut dua sen kepada RM20.60.

Dalam kalangan saham aktif, Advance Synergy dan Malayan United tidak berubah, masing-masing pada 16 sen dan 10 sen, manakala Eden, Dagang NeXchange dan Thriven pula naik 3.5 sen, setiap satu kepada 23 sen, 60.5 sen dan 19 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 64.54 mata kepada 10,210.27, Indeks FBM Emas Syariah turun 71.07 mata kepada 10,336.42, Indeks FBMT 100 lemah 64.39 mata menjadi 9,940.61, FBM 70 berkurangan 20.28 mata kepada 12,146.66 dan FBM ACE jatuh 34.56 mata kepada 4,917.94.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 11.28 mata kepada 6,827.89, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.73 mata menjadi 178.19, Indeks Perkhidmatan Kewangan kerugian 34.77 mata kepada 16,173.01 manakala Indeks Tenaga susut 6.7 mata kepada 719.67.

-BERNAMA




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo