NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS yakin ahli kekal walak, sokong parti di Kuala Nerus


Pesuruhjaya PAS Terengganu Husain Awang yakin parti itu akan beroleh kemenangan di kerusi Parlimen Kuala Nerus melalui calonnya Dr Alias Razak walaupun berdepan dengan bekas pemimpinnya, Khairuddin Aman Razali yang bertanding di bawah tiket BN.

Kata Husain, ini kerana ahli PAS telah ditarbiyah supaya taat kepada parti dan bukan kepada individu.

"Dalam PAS ini kita telah ditarbiyah dan mendidik ahli-ahli kita supaya walak atau setia kepada parti, bukan setia kepada individu.

"Oleh itu, kita harus ada keyakinan yang ahli-ahli kita tidak berganjak untuk memberikan undi dan terus setia dengan keputusan yang telah diambil oleh kepimpinan," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Markaz Induk Parlimen Kuala Nerus dan ceramah perdana di Kompleks Tarbiyah At Taqwa (Komtaq) Batu Enam, di Kuala Nerus, malam tadi.

Husain mengulas berkenaan sokongan ahli dan penyokong PAS di kerusi Parlimen Kuala Nerus memandangkan ia turut ditandingi oleh bekas pimpinannya, Khairuddin Aman Razali yang juga penyandang kerusi itu.

Dr Alias Razak

Pada PRU14, Khairuddin yang ketika itu masih bersama PAS menang menewaskan calon BN Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad dan calon PKR Abdullah Muhammad dengan majoriti 8,447 undi.

Turut hadir pada sidang media malam tadi adalah Alias, Yang Dipertua PAS Kuala Nerus Shukrimun Shamsudin, Adun Tepoh Hishamuddin Abdul Karim dan Pengerusi Bersatu Kuala Nerus Khazan Che Mat.

Sementara itu, Alias berkata projek tebatan banjir antara yang akan diperjuangkannya sekiranya berjaya merampas kerusi terbabit dari Khairuddin.

Alias yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, berkata projek tebatan banjir akan meliputi kawasan DUN Tepoh dan Bukit Tunggal.

Khairuddin Aman Razali

Menurutnya, permohonan dengan peruntukan lebih RM400 juta sudah lama dibawa kepada kerajaan pusat.

"Sebenarnya permohonan sudah lama dibuat dan difahamkan hampir diluluskan, namun tiba-tiba sekarang dimaklumkan tidak jadi pula.

"Jadi, sekiranya saya dipilih rakyat pada PRU15 nanti, Insya-Allah saya akan bawa isu ini dan mendesak balik bagi meneruskan projek bagi mencegah banjir yang sering berlaku setiap tahun," katanya yang juga Adun Bukit Tunggal.

"Selain projek tebatan banjir, beberapa pembangunan termasuk perumahan dilaksanakan untuk rakyat khususnya Parlimen Kuala Nerus akan dilaksanakan," katanya lagi.

Selain Alias dan Khairuddin, turut bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus adalah Suhaimi Hasnim dari PH dan Azaha Wahid dari Pejuang.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo