NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pas tidak guna kedudukan laksana dasar menekan rakyat

KUALA LUMPUR - Pas tidak akan menggunakan kedudukan kerusi yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar bagi menekan mana-mana pihak terutama di Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani kehidupan harmoni mengikut adat resam serta agama masing-masing.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ dan individu bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama tersebut melainkan atas kerelaan serta kefahaman sendiri.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, Pas sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia serta mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pas telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui di Kelantan lebih 30 tahun," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata Pas memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan kongsi meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.

Takiyuddin juga berkata para pemimpin dan ahli Pas yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besar profesional mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing apabila diberikan kedudukan serta peranan di dalam kerajaan dan agensinya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas, Pas yang merupakan komponen Perikatan Nasional tampil sebagai parti paling banyak memenangi kerusi Parlimen iaitu 49 manakala Bersatu 24.

PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. - Bernama




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo