NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS bukan parti rasis, ekstremis, tegas Hadi

Oleh : Janatul Firdaus Yaacob

ROMPIN – PAS menangkis tohmahan kononnya parti itu bersifat rasis dan ekstremis sebaliknya Pesiden PAS menegaskan bahawa parti Islam itu sekadar menentang DAP.

Menurut Tan Sri Abdul Hadi Awang, sekiranya PAS bersifat rasis dan ekstremis tentunya tidak akan mendapat sokongan akuan berkanun (SD) daripada parti MCA, MIC juga Parti Gabungan Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Beliau sebaliknya menegaskan bahawa PAS adalah sebuah parti yang praktikal .

“PAS parti yang praktikal, kita bersama dengan Gerakan dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) ada,bersama kita dan mereka bukan Islam.

“Kita mengadakan kerjasama dengan semua pihak, bahkan apa yang menarik MCA, MIC termasuk parti Sabah dan Sarawak beri SD sokong kita bentuk kerajaan baru-baru ini,” kata Hadi ketika sidang media selepas ceramah PN di Bandar Baru Rompin, malam tadi.

Hadi menegaskan berulang kali bahawa partinya boleh bekerjasama dengan semua kecuali DAP sahaja.

Dalam perkembagan lain, Hadi berpandangan bahawa Kerajaan Perpaduan yang memerintah hari ini adalah kerajaan minoriti yang tidak sihat dalam amalan demokrasi berparlimen.

“Kita tak tahu apa nak jadi akan datang kalau negara macam ni ia dibentuk dengan ramuan tak betul, yang salah.

“Ini negara akan berpenyakit, ia mesti diselesaikan dengan cara yang betul,” katanya.

Beliau malah mengingatkan bahawa PAS dan Perikatan Nasional (PN) memilih jalan damai dan bersabar dengan senario politik masa kini.

“Kita sabar menghadapi ujian ini, kita sabar kita tak mahu susahkan rakyat. Insyaallah akan berlaku perubahan secara demokrasi yang akan kita lakukan.

“Kita tetap memilih demokrasi, memilih cara yang aman, walaupun dia tuduh PAS ini Taliban sedangkan dia pun tak tahu Taliban itu apa? DAP ini terlalu ikut media Barat.

“Dia (DAP) tak sedar diri dia sendiri, tak cermin diri dia sendiri dalam diri dia komunis ada macam-macam jenis,” ujarnya lagi.

Justeru, Ahli Parlimen Marang itu berharap orang Umno tidak jadi seperti DAP

“Ini orang bagi tawaran jadi menteri besar, jadi Exco terus terima, ni jenis apa macam ini? rakyat tengoklah pemimpin macam ni mesti ditolak, orang Umno pun nak tolak pemimpin macam ini.

“PAS dan PN akan ambil alih kepimpinan negara dan selamatkan negara dengan sebaik-baiknya bukan dengan rakus, dengan nafsu tapi dengan istiqamah mengikut petunjuk Allah.

“Kita berkawan baik-baik … yang Islam, bukan Islam semua dah ada tapi yang ekstrem kita tolak, ini saja yang menyelamatkan negara malah orang Cina pun tak suka yang ekstreme ni. Kita kena tolak pendekatan yang huru-hara,” seru beliau.

- Suara.tv

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo